
SELANGOR FC ternyata tidak duduk diam apabila berjaya mengikat dua pemain berpengalaman bagi mengharungi saingan Liga Super 2026/27 yang dijangka pertengahan Ogos nanti.
Dua pemain berkenaan ialah pemain sayap kanan kebangsaan, A. Selvan dan juga pemain tengah berpengalaman, Azam Azih bagi memperkuatkan pasukan yang dibimbing Kim Pan-gon.
A. Selvan yang merupakan bekas pemain Negeri Sembilan FC musim lalu mempamerkan aksi konsisten selain memiliki kepantasan luar biasa, keberanian mengasak lawan serta memiliki ‘work- rate’ yang tinggi.
Kehadiran Selvan yang berusia 25 tahun ini dijangka mampu menambah dimensi baharu kepada jentera serangan Gergasi Merah.
Selain beraksi di posisi sayap kanan, Selvan turut memiliki keupayaan untuk bermain dalam beberapa peranan di bahagian serangan dan bertahan, sekali gus memberikan lebih banyak pilihan taktikal kepada Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon, menjelang musim baharu.

Turut menjadi keluarga besar Gergasi Merah Kuning adalah Azam Azih yang memiliki banyak pengalaman sama ada bersama skuad kebangsaan dan juga negeri.
Pemain berusia 31 tahun itu menyertai Selangor FC selepas menimba pengalaman luas dalam kancah bola sepak tempatan bersama Sri Pahang FC sejak dari tahun 2015.
Dikenali sebagai antara pemain tengah paling berkualiti di negara ini, Azam membawa bersama pengalaman, ketenangan serta kebijaksanaan membaca permainan yang dijangka menjadi aset penting buat skuad kendalian Kim Pan-gon.
Memiliki sentuhan teknikal yang tinggi, kemampuan mengawal tempo permainan serta kebolehan melakukan hantaran yang tepat, Azam turut dikenali sebagai pemain yang mampu memberi keseimbangan di bahagian tengah sama ada ketika menyerang mahupun bertahan.
Sepanjang kariernya, Azam telah membuktikan kualitinya sebagai antara pemain tengah paling konsisten di Liga Malaysia serta pernah mewakili skuad kebangsaan Malaysia di pentas antarabangsa dengan mengumpul 24 penampilan untuk Harimau Malaya.
Kehadirannya diyakini mampu memperkukuhkan jentera tengah Selangor FC menjelang musim baharu.
Tahniah Selangor FC dan Selamat Maju jaya buat A Selvan serta Azam !!







Add Comment