
PEMINAT bola sepak di Malaysia bakal dipersembahkan dengan satu perlawanan bola sepak yang tidak dapat dilupakan AllStar Sports Sdn. Bhd. (AllStar Sports) kembali membawa AllStar Legends ke Kuala Lumpur.
Dijadualkan berlangsung pada 3 Oktober 2026 di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil, perlawanan pameran ini akan menghimpunkan beberapa bintang paling ikonik dalam dunia bola sepak untuk meraikan detik-detik terhebat sukan ini.
AllStar Legends dengan bangganya disokong oleh barisan rakan kongsi yang kukuh, iaitu BYD Sime Motors sebagai Rakan Automotif Rasmi dan Gambit Group sebagai Penaja Bersama, serta NIVEA MEN dan Spritzer Berhad sebagai Penaja Emas, Seni Jaya Corporation Berhad sebagai Rakan Media, dan PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur sebagai Hotel Rasmi.
Menjadi tumpuan utama, AllStar Premier Legends — yang terdiri daripada bintang-bintang paling terkenal dari Liga Perdana Inggeris akan berentap dengan AllStar World Legends, barisan legenda antarabangsa yang memukau dari kelab-kelab terbesar dunia.

Para pemain tersohor ini menjanjikan satu perlawanan pameran yang penuh bertenaga dan berfokuskan peminat, menghidupkan kembali detik-detik terunggul perlawanan bola sepak di Kuala Lumpur.
Hadir bersama dalam sidang media hari ini ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Mordi Bimol, yang menyatakan sokongan beliau terhadap perlawanan pameran AllStar Legends serta menekankan potensi perlawanan ini untuk menyatukan peminat bola sepak di seluruh Malaysia dalam satu sambutan yang bermakna.
Turut hadir bersama ialah Pengarah Projek AllStar Sports, Encik Steven Windsor, Pengarah World Football Legends (WFL), Encik Ian Holahan, bersama para penaja dan rakan media.
Steven Windsor berkata, sukan sentiasa menjadi jambatan yang menghubungkan komuniti, dan bola sepak pula berada di tempat istimewa di hati kita.
“Acara seperti ini bukan sahaja meraikan para pemain—malah turut meraikan peminat, yang menjadikan bola sepak cukup istimewa melalui semangat dan cinta mereka terhadap sukan ini.
“Permainan bola sepak juga mengingatkan kita bahawa walaupun dunia berpecah-belah, namun detik-detik seperti ini mampu menghidupkan keharmonian, perasaan saling menghormati dan harapan untuk keamanan yang berkekalan.
“Pasukan AllStar Premier Legends dan AllStar World Legends adalah dua pasukan yang benar-benar mencerminkan semangat permainan ini. Tenaga, bakat dan semangat juang mereka menjadikan pertembungan ini seimbang manakala para peminat bakal menyakasikan satu perlawanan yang mendebarkan serta sukar dilupakan.
“Kami percaya padanan ini bukan sahaja akan mempamerkan permainan bola sepak berkualiti tinggi, malah turut mewujudkan suasana yang menarik dan penuh kehangatan untuk semua yang hadir,” tegasnya.

Steven Gerrard, pemain tengah bola sepak legenda England dan bekas kapten Liverpool FC , turut menekankan keunikan AllStar Legends sambil menyatakan keterujaan beliau terhadap sesi bertemu peminat serta perlawanan yang bakal berlangsung.
Dengan persiapan yang sedang giat dijalankan, pasukan tersebut sudah tidak sabar untuk memberikan perlawanan yang menarik dan luar biasa buat para penyokong.
Penganjur turut menyuarakan sentimen yang sama, sambil menambah bahawa acara ini dijangka menarik kehadiran yang memberangsangkan serta mewujudkan suasana yang meriah, mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai salah satu acara utama dalam takwim sukan tempatan.
Pemain yang diumumkan bagi kedua-dua pasukan termasuk Jaap Stam, Eidur Gudjohsen dan Ian Harte yang mewakili AllStar Premier Legends, manakala AllStar World Legends akan menampilkan bintang antarabangsa seperti Dida, Javier Saviola dan Maicon.
Para peminat boleh menantikan gabungan kemahiran legenda, detik-detik yang tidak dapat dilupakan, serta barisan pemain bertaraf dunia di atas padang.
Barisan penuh pemain bersama maklumat berkaitan tiket acara akan diumumkan menjelang tarikh perlawanan. Selain itu, barangan rasmi acara juga akan tersedia untuk pembelian secara dalam talian untuk memberi peluang kepada peminat mengabadikan kenangan istimewa ini.










Add Comment