Bola Sepak Terkini

“Biarlah dia fokus kepada proses pemulihan” – Pau Marti

Pestabola Merdeka 2024 tanpa kelibat Faisal Halim

HASRAT untuk melihat kelibat Faisal Halim dalam Pestabola Merdeka 2024 tidak menjadi kenyataan selepas pemain Selangor itu dan juga tonggak utama Harimau Malaysa sebelum ini tidak dipanggil menyertai kem latihan pusat.

Walaupun pemain berkenaan sudah diturunkan selaku pemain gantian pada aksi Liga Super, Selangor FC menentang KDN FC dan dalam kejohanan Piala Sultan Selangor namun Ketua Jurulatih jurulatih  yang baharu, Pau Marti tidak menyenaraikannya bersama 26 pemain yang akan menjalani latihan pusat bermuda 29 Ogos ini.

Pau Marti menjelaskan, pemain sayap lincah itu tampak belum berada dalam keadaan yang terbaik untuk dipanggil kali ini sekali gus barisan kejurulatihan membuat keputusan untuk melupakan khidmat pemain itu bagi menghadapi dua aksi berdepan Filipina dan Lubnan ataupun Tajikistan.

“Saya gembira apabila Faisal kembali beraksi, menunjukkan kekuatan dan karakternya jadi ini sesuatu yang boleh kita pelajari dan membuatkan kita bangga.

“Saya sentiasa berhubung dengan Faisal tetapi saya rasa buat masa ini, biarlah dia fokus kepada proses pemulihan, mendapatkan semula tahap kecergasannya dan mendapat minit permainan bagi memastikan dia boleh kembali ke tahap terbaiknya.

“Apabila tiba masanya nanti, sudah tentu pasukan, dia (Faisal) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mencari masa terbaik untuk dia kembali beraksi bersama skuad kebangsaan,” katanya pada sidang media pengumuman pemain skuad Harimau Malaya ke Pestabola Merdeka.

Pau Marti yang mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih kebangsaan selepas peletakan jawatan Kim Pan Gon pada 16 Julai lalu telah mengekalkan seramai 18 daripada 26 pemain dari skuad bagi dua perlawanan terakhir Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei pada 6 dan 11 Jun 2024.

Lapan pemain baharu yang kembali disenaraikan ialah penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Arif Aiman Mohd Hanapi, Romel Morales, Afiq Fazail, Azam Azmi Murad, Darren Lok, Harith Haiqal Adam Afkar dan Syafiq Ahmad.

Sementara 11 pemain berikut diletakkan dalam Senarai Bersedia, jika terdapat perubahan.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 iaitu Separuh Akhir menentang Filipina pada Rabu, 4 September 2024, jam 9.00 malam. Satu lagi perlawanan Separuh Akhir menemukan Lubnan dan Tajikistan pada hari yang sama, jam 4.30 petang.

Pemenang kedua-dua perlawanan tersebut akan bertemu di Final pada Ahad, 8 September 2024, jam 9.00 malam manakala dua pasukan yang tewas pada Separuh Akhir akan bertemu untuk perlawanan Penentuan Tempat Ketiga pada hari sama, jam 4.30 petang.


Add Comment

Click here to post a comment