
MAJLIS Sukan Negara (MSN) telah berhubung dengan Cindy Ong berkaitan pendedahan atlet itu mengenai pengalaman ‘ngeri’ gangguan seksual yang alami sebelum ini.
Menurut Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail memberitahu pihaknya mengambil maklum mengenai arahan yang dikeluarkan oleh Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) bagi membantu Cindy.
“Saya telah pun menghubungi Cindy dan akan mengadakan perbincangan lanjut dengan beliau dalam masa terdekat ini bagi melihat dengan lebih terperinci mengenai perkara tersebut.
“Sehingga perbincangan tersebut diadakan, Pengurusan MSN berharap agar kita termasuk Cindy diberikan ruang sedikit bagi kita meneliti pendekatan terbaik menangani isu tersebut.
“Pada masa yang sama, Pengurusan MSN ingin memaklumkan dan menegaskan bahawa kesemua atlet dan jurulatih malahan pegawai yang telah dan sedang terlibat di dalam program latihan persediaan atlet di bawah MSN mempunyai pelbagai platform atau saluran untuk mengemukakan sebarang aduan berkaitan salah laku atau gangguan dalam sukan,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Antara platform yang telah diwujudkan di bawah MSN adalah seperti Jawatankuasa Perwakilan Atlet bermula pada tahun 2016.
“Jawatankuasa ini diwakili oleh seorang wakil atlet atau ketua pasukan dari setiap sukan bagi mengetengahkan apa-apa perkara, isu mahupun permasalahan sama ada dari segi kebajikan, perkhidmatan sokongan dan latihan sukan masing-masing supaya program latihan mereka berjalan lancar.
“Jawatankuasa ini turut dianggotai oleh wakil Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Atlet MSN.
“Lembaga Pengurus MSN yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan sendiri juga telah menubuhkan Jawatankuasa Salah Laku dan Perlindungan Dalam Sukan melalui Sekretariat MACE, MSN yang dipengerusikan oleh Datuk Megat Zulkarnain Omar Din, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan dibantu oleh Nurul Huda Abdullah, bekas perenang dan olahragawati negara yang mana kedua-dua mereka merupakan Ahli Lembaga Pengurus MSN.
“Jawatankuasa ini pada dasarnya bertanggungjawab untuk memastikan pengurusan aduan meliputi tiga (3) teras utama iaitu Tatatertib, Tadbir Urus dan Pematuhan Peraturan pengurusan sukan prestasi tinggi negara di bawah kendalian Majlis Sukan Negara supaya dilaksanakan secara telus dan cekap,” jelas Ahmad Shapawi.
Selain itu, pengurusan MSN juga telah mewujudkan talian ‘careline’ bagi sebarang aduan yang boleh dikemukakan oleh atlet/jurulatih/pegawai sukan di bawah program MSN. Talian tersebut telah bermula sejak April 2020 dan sebarang aduan boleh dikemukakan melalui emel kepada mace@nsc.gov.my atau melalui no telefon, 03 – 8992 9778 / 8992 9809.
“Atlet-atlet juga boleh melaporkan sebarang ketidakselesaan mereka melalui jurulatih dan pegawai sukan dari Persatuan Sukan Kebangsaan/Institut Sukan Negara bagi membincangkan sebarang permasalahan berkaitan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) dan Mesyuarat Jawatankuasa Program (JKP) yang dilaksanakan secara berkala dari semasa ke semasa.
“Pengurusan MSN berharap bahawa keluarga terdekat atlet juga boleh memainkan peranan sekiranya atlet-atlet ada merasakan ketidakselesaan atau merasakan keselamatan mereka terancam oleh gangguan-gangguan seperti ini, mereka disaran untuk melaporkan dengan segera perkara ini kepada pihak berkuasa melalui saluran undang-undang yang telah sedia ada bagi setiap rakyat Malaysia,” tambahnya.






Add Comment