Antarabangsa Bola Sepak Terkini

FAM Sedia Bantu Perlis Bangkitkan Ngauman Singa Utara

Bangkitkan semula reputasi serta maruah bola sepak Perlis agar kembali disegani, selari dengan sejarah gemilang skuad Singa Utara yang pernah muncul sebagai antara gergasi bola sepak negara suatu ketika dahulu.

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Perlis, Tuan Abu Bakar Hamzah di Wisma FAM sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan serta kerjasama dalam pembangunan bola sepak negeri Perlis.

Dalam pertemuan tersebut, Tuan Abu Bakar dan Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi bersama-sama Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman telah bertukar pandangan secara terbuka dan konstruktif mengenai landskap semasa bola sepak Perlis, termasuk cabaran semasa serta potensi untuk memulihkan semula prestasi dan imej bola sepak negeri berkenaan.

YAB Menteri Besar Perlis menyatakan azam dan komitmen penuh Kerajaan Negeri Perlis untuk membangkitkan semula reputasi serta maruah bola sepak Perlis agar kembali disegani, selari dengan sejarah gemilang skuad Singa Utara yang pernah muncul sebagai antara gergasi bola sepak negara suatu ketika dahulu.

Sementara itu, Datuk Wira Mohd Yusoff menyambut baik komitmen tersebut sambil menyatakan kesediaan FAM untuk bekerjasama serta memberikan sokongan yang bersesuaian demi memastikan kebangkitan bola sepak Perlis dapat direalisasikan secara mampan dan selaras dengan pelan pembangunan bola sepak nasional.

Pertemuan antara kedua-dua belah pihak itu secara tidak langsung mencerminkan kesepakatan bersama antara FAM dan Kerajaan Negeri Perlis dalam mengangkat semula martabat bola sepak negeri serta memperkukuh ekosistem bola sepak Malaysia secara keseluruhan.

Pada masa sama, FAM selaku badan induk bola sepak Malaysia sedia membantu dengan memberi khidmat nasihat kepada setiap ahli gabungannya dan kelab-kelab bola sepak tempatan.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading