
SKUAD Hoki Wanita Kebangsaan bakal menggalas misi penting apabila turun memburu pingat emas pada Sukan SEA 2025 Thailand, bermula 11 hingga 19 Disember ini.
Acara yang dijadualkan berlangsung di National Sports University, Chonburi itu turut menjadi medan penting buat Malaysia dalam mengukuhkan dominasi di peringkat Asia Tenggara.
Edisi kali ini menyaksikan empat negara bertanding dalam acara hoki wanita iaitu Malaysia, Thailand, Singapura dan Indonesia.
Berdasarkan ranking semasa, Malaysia berada pada kedudukan ke-22 dunia, mengatasi Thailand (28), Singapura (35) dan Indonesia (74), sekali gus meletakkan skuad negara sebagai pilihan utama untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Sukan SEA Kemboja dua tahun lalu.
Malaysia akan membuka kempen menentang Singapura pada 11 Disember, sebelum berdepan Indonesia dua hari kemudian dan aksi terakhir kumpulan akan menemukan mereka dengan tuan rumah, Thailand pada 16 Disember.
Perlawanan separuh akhir dijadualkan pada 18 Disember membabitkan pasukan tangga pertama menentang keempat, manakala tempat kedua bertemu ketiga. Pemenang aksi separuh akhir bakal mara ke final pada 19 Disember bagi merebut pingat emas yang menjadi sasaran utama kontinjen negara.
Ketua Jurulatih Skuad Hoki Wanita Negara, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim berkata, pasukan kali ini dibarisi pemain berpengalaman berusia 21 tahun ke atas susulan tujuh pemain muda berada di Santiago, Chile bagi Kejohanan Piala Dunia Remaja Wanita B-21.
Katanya, ketiadaan tujuh pemain tersebut tidak menjejaskan kekuatan pasukan kerana setiap pemain yang telah disenaraikan mempunyai pengalaman cukup luas dalam arena hoki antarabangsa.
Mengulas mengenai pandangan bahawa Malaysia hampir pasti menggenggam emas berdasarkan reputasi dan ranking, Nasihin menegaskan tiada jaminan dalam sukan moden.
“Semua yang disenaraikan adalah pemain matang yang sudah biasa beraksi di pentas antarabangsa. Hanya berapa banyak kejohanan yang telah mereka sertai membezakan setiap daripada pemain. Walaupun kami tidak membawa pemain bawah 21, barisan sedia ada cukup berkualiti dan stabil.
“Kami menghargai keyakinan peminat dan tetap mengekalkan prinsip hormat terhadap setiap lawan. Kami faham ramai melihat Malaysia sebagai pasukan pilihan, tetapi dalam hoki moden tiada kemenangan mudah.
“Kami kekal merendah diri, berdisiplin dan menghormati semua lawan. Standard kami ialah memberikan persembahan bertaraf tinggi dan sentiasa dahagakan kemenangan,” katanya.
Untuk rekod, pada temasya edisi lalu Malaysia berjaya merangkul pingat emas selepas menumpaskan Thailand 4-1 pada perlawanan akhir di Sukan SEA 2023, Kemboja.
Malaysia juga memegang status pasukan paling banyak memenangi pingat emas acara hoki wanita iaitu lapan kali, sejak penganjuran temasya dwitahunan 1997, Jakarta Indonesia hingga 2023 di Kemboja.





Add Comment