Antarabangsa Bola Sepak Terkini

JDT simbol kebanggaan Liga Malaysia

Membentuk satu penanda aras profesionalisme kelab bola sepak di negara ini

TIADA  siapa dapat menafikan dominasi kelab bola sepak di selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kancah bola sepak tempatan hingga pentas Asia, menjadikan kelab Harimau Selatan itu simbol kebanggaan Liga Malaysia.

Bermula dengan kejayaan mempertahankan kejuaraan domestik – Piala Sumbangsih dan Piala FA – JDT terus menunjukkan taring di peringkat lebih tinggi dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) Elite 2023/24.

Beraksi cemerlang di peringkat kumpulan Zon Timur, skuad bimbingan Hector Bidoglio mencipta sejarah apabila menamatkan saingan di tangga ketiga kumpulan sekali gus melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik, merupakan pencapaian terbaik yang belum pernah dicapai kelab Malaysia sebelum ini dalam edisi ACL Elite.

Menerusi pencapaian itu, JDT telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas 100PLUS pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)- 100PLUS 2024, sebagai menghargai sumbangan luar biasa kelab berkenaan dalam mengangkat martabat bola sepak Malaysia di peringkat serantau.

Ini merupakan anugerah kedua oleh JDT selepas buat julung kalinya dipilih menerima Anugerah Khas 100PLUS pada edisi 2015 sebagai pengiktirafan atas pencapaian mereka muncul pasukan pertama dari Malaysia menjuarai Piala AFC.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah SAM-100PLUS 2024 Hazreen Mubarak berkata pemilihan JDT sebagai Penerima Anugerah Khas dibuat berdasarkan impak signifikan kelab itu terhadap pembangunan dan imej bola sepak Malaysia.

“JDT bukan sahaja mencipta pencapaian atas padang, tetapi membentuk satu penanda aras profesionalisme kelab bola sepak di negara ini. Pencapaian di ACL Elite menjadi bukti bahawa kelab Malaysia mampu bersaing di pentas tertinggi Asia.

“Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan terhadap visi, kerja keras dan piawaian yang mereka bawa,” katanya.

Pengiktirafan ini bukan sahaja menjadi satu penghormatan buat kelab, malah turut mencerminkan visi profesionalisme yang diterapkan dalam pengurusan JDT sejak penubuhannya, termasuk pembangunan infrastruktur bertaraf dunia, struktur pasukan yang mantap dan sokongan padu peminat.

Kelab yang berpangkalan di Selatan tanah air ini bukan sahaja mengubah landskap bola sepak tempatan, malah mencabar norma, meletakkan sasaran lebih tinggi dan membuktikan bahawa kelab Malaysia mampu bersaing di pentas elit Asia.

Anugerah SAM-100PLUS 2024 dijadualkan berlangsung pada 14 Julai di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya dan akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading