Badminton

Allianz Malaysia dilantik rakan Kewangan rasmi BAM


FOTO BAM

BUKIT KIARA – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah melantik Allianz Malaysia Berhad (Allianz Malaysia) sebagai Rakan Perkhidmatan Kewangan Rasmi, menandakan era baharu dalam arena badminton negara.

Kerjasama ini akan memberikan sokongan dan peluang yang lebih besar kepada pemain serta jurulatih dalam usaha mereka mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa.

Allianz Malaysia berkomitmen untuk melindungi kebajikan semua pemain dan jurulatih BAM. Dengan kerjasama ini, pemain BAM, termasuk pemain senior, remaja, dan jurulatih mereka, akan menerima perlindungan komprehensif apabila bertanding di luar negara.

Ini akan membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha meraih kejayaan.

Selain itu, Allianz Malaysia juga akan menaja kejohanan SUPER 100. Kejohanan Allianz Malaysia SUPER 100 dijadualkan berlangsung pada Oktober di Stadium Juara, mengukuhkan lagi peranan Allianz sebagai penyokong utama badminton negara.

Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, menyatakan kegembiraan beliau dengan kerjasama ini. “

Allianz Malaysia adalah peneraju dalam industri insurans di negara ini. Di peringkat global, Allianz terlibat dalam kejohanan sukan bertaraf dunia seperti Sukan Olimpik. Penglibatan mereka dalam sukan Malaysia menjadikan kerjasama ini sangat bermakna,” katanya.

Beliau juga menekankan kepentingan kerjasama ini dengan menyatakan, “Sokongan daripada syarikat korporat seperti Allianz Malaysia sangat penting dan akan memberi sumbangan besar terhadap kejayaan program kami.

Kerjasama ini memberi manfaat kepada BAM dan menjadi pendorong motivasi kepada para pemain.”

Sebelum ini, Allianz Malaysia telah aktif menyokong pembangunan badminton junior di Malaysia melalui penganjuran Allianz Junior Badminton Championship (AJBC) sejak 2022.

Tahun lalu, lebih 3,000 pemain muda menyertai 10 Pusingan Kelayakan di pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Finalis dari setiap pusingan layak ke Peringkat Akhir AJBC dengan semua perbelanjaan ditanggung oleh Allianz.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang, berkata, Allianz komited menyokong sukan di peringkat global melalui penajaan dalam acara sukan utama seperti Sukan Olimpik dan Paralimpik.

“Di Malaysia, kami telah bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk program atlet Para serta AJBC. Berdasarkan kejayaan AJBC, kami mahu melebarkan sumbangan kami kepada badminton Malaysia di peringkat kebangsaan.”

“Kami teruja dengan prospek kerjasama ini dan menyokong pelbagai program dan aktiviti BAM. Saya juga amat gembira untuk menjadi penaja bagi acara Allianz Malaysia SUPER 100 yang dijadualkan pada akhir tahun ini,” tambah beliau.

Selain kerjasama dengan BAM, Allianz Malaysia akan terus memupuk bakat muda melalui program AJBC. Maklumat lanjut tentang edisi keempat kejohanan ini akan diumumkan tidak lama lagi.



Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading