Bola Sepak

Jika benar saman RM1 bilion, bakal jadi sejarah : Sanusi belum terima LOD DSAT Group


PADANG TERAP – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan saman yang bakal dikemuka oleh DSAT Group kepadanya akan menjadi sejarah jika benar-benar berjumlah RM1 bilion.

Menurutnya, walaubagaimanapun beliau belum menerima Surat Tuntutan (LOD) daripada syarikat tersebut setakat hari ini.

Muhammad Sanusi menegaskan bahawa kenyataannya pada 7 November lalu mengenai pihak yang mahu mengambil alih kelab bola sepak itu adalah bersifat umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana syarikat atau individu tertentu.

“Saya tidak sebut nama dia, tidak sebut nama syarikat dia, saya pun tidak sebut siapa-siapa.

“Saya cuma sebut siapa nak ambil (alih KDA FC) jangan jadi scammer (menipu). Siapa makan cili dia rasa pedas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Lot Desa Sejahtera Daerah Padang Terap di Kampung Perik, Mukim Kurong Hitam, di sini.

Tambah beliau, kenyataannya dibuat kerana terdapat banyak usaha daripada pelbagai pihak untuk mengambil alih KDA FC, namun semuanya sekadar penipuan sahaja.

“Sebelum ini, sudah ada banyak cubaan nak mengambil alih tapi scam. Kita harap pengalaman itu tidak berulang. Itu komen adil daripada seorang Menteri Besar. Janganlah scam,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan DSAT Group memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman Sanusi sebanyak RM1 bilion.

Pengerusi Eksekutif DSAT Group, Datuk Seri Azizul Tandek, menjelaskan bahawa tindakan itu diambil susulan kenyataan Sanusi pada 7 November lalu semasa sidang media di Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).

Sanusi sebelum ini menyatakan bahawa beliau mengharapkan syarikat yang berminat untuk mengambil alih KDA FC agar benar-benar mempunyai kemampuan untuk menguruskannya.

Walaupun urusan pemilikan kelab itu tidak bersangkutan dengan kerajaan negeri, beliau tetap mengingatkan agar tidak berlaku sebarang penipuan dalam perkara tersebut.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading