
PENGENDALI skuad bawah 23 tahun negara, E Elavarasan masih diberikan mandat untuk mengemudi pasukan pada baki dua kejohanan antarabangsa tahun ini walaupun skuda bimbingannya itu gagal menyumbangkan kilauan pingat pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman memaklumkan, tiada perubahan teknikal yang dilakukan oleh badan induk bola sepak negara pada skuad muda Harimau Malaya dengan sasaran kini diberikan untuk layak ke Piala Asia B-23 2024 nanti.
“Petunjuk indeks prestasi (KPI) yang baharu telah ditetapkan kepada Elavarasan untuk memastikan pasukan dapat berada dalam kelompok negara terbaik pada kelayakan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung pada September depan.
“Kita akan mengharungi dua lagi kejohanan antarabangsa iaitu Piala AFF B-23 2023 pada Ogos dan kelayakan Piala Asia B-23 2024 dengan kedua-dua kejohanan akan berlangsung di Thailand.
“Selepas mesyuarat Exco FAM sebentar tadi (semalam), kita mengambil keputusan untuk kekalkan khidmat Elavarasan bagi terus mengemudi pasukan untuk dua kejohanan tersebut.
“Sasaran yang ditetapkan kepadanya kali ini adalah layak ke pentas Piala Asia B-23 2024 di Qatar dan jika ia tidak berlaku, mungkin akan ada keputusan lain nanti tetapi buat masa ini, kita kita fokus satu persatu,” katanya.
Untuk rekod, skuad B-23 negara telah dikritik hebat susulan kegagalan menyumbangkan kilauan pingat pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 bulan lepas selepas terkandas dalam peringkat kumpulan.
Add Comment