
Kejayaan pasukan kebangsaan bawah 17 tahun mengatasi UAE 3-2 pada perlawanan Kumpulan B Kelayakan Piala Asia B-17 2023 pada Jumaat menjadi suntikan semangat kepada Rimau Muda untuk menghadapi pasukan tuan rumah, Indonesia pada Ahad.
Ketua Jurulatih, Osmera Omaro berkata, Indonesia masih lagi menjadi pasukan pilihan pada kejohanan kelayakan tersebut walaupun beraksi tanpa penyokong di Stadium Pakansari, Bogor.
Menurutnya, perancangan yang digerakkan oleh pasukan kejurulatihan termasuk seri kepada Guam 1-1 adalah salah satu taktikal awal bagi memerangkap UAE.
“Lawan Guam memang boleh dikatakan satu strategi untuk pancing UAE supaya bermain bukan seperti biasa, kita berhasil, mereka keluar dengan strategi yang berbeza dan sangka kita bermain seperti Guam, ternyata berhasil. kita dah rancang lama perkara ini.
“Indonesia pula masih lagi pasukan pilihan walaupun mereka turun tanpa sokongan penonton, mereka sudah biasa beraksi di laman sendiri, pemain yang bagus, ada motivasi tinggi dan kita akan turun sebagai pasukan bukan pilihan pada Ahad tetapi bola itu bulat,” katanya pada sidang media.
Malaysia kini berada di tangga kedua Kumpulan B dengan tujuh mata selepas tiga perlawanan manakala Indonesia mengetuai Kumpulan dengan sembilan mata selepas tiga perlawanan. – CAKAP SUKAN
Add Comment