
Oleh : SUBKHI SUDARJI
SAINGAN Liga Malaysia 2022 yang baru sahaja selesai dengan perlawanan kedua kini dihentikan bagi memberi peluang buat pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengumpul barisan pemain baharu menjalani kem latihan bermula 14 Mac ini sebagai persiapan perlawanan persahabatan Antarabangasa Tier 1 menentang Filipina dan Singapura.
Perlawanan yang diadakan di Singapura ini bakal dilangsungkan pada 23 Mac dan 26 Mac dengan Filipina menjadi lawan pertama sebelum Singapura selaku tuan rumah yang merupakan pentas pertama dibawah kendalian Pan-gon selepas dilantik selaku peneraju skuad kebangsaan menggantikan Tan Cheng Hoe.
Jika sebelum ini senarai pemain yang bakal dipanggil hanya dibuat menerusi kenyataan media tetapi kali ini berbeza apabila Pan-gon akan mengumumkannya secara rasmi pada sidang media di Wisma FAM, petang ini.
Langkah pertama yang memperlihatkan kelainan…
FAKTOR PEMILIHAN
Berdasarkan perlawanan semasa yang telah berlangsung secara keseluruhannya Pan-gon dan barisan kejurulatihan yang dibawa bersamanya masih tidak dapat melihat secara keseluruhan pemain-pemain khususnya dalam saingan Liga Super selepas beberapa perlawanan terpaksa ditangguhkan ekoran Covid-19.
Johor Darul Ta’zim, KL City, Selangor, Sabah FC, Petaling Jaya City FC, Negeri Sembilan FC, Melaka United FC, Penang FC, Sarawak United dan Kedah Darul Aman FC sahaja yang sudah pun turun beraksi dipandang untuk sekurang-kurangnya dua perlawanan sahaja.
Bagi Sri Pahang FC dan Terengganu FC mereka masih ‘kempunan’ mempamerkan wajah baharu mereka selepas dua perlawanan awal ditangguhkan ekoran jangkitan Covid-19 ke atas pemain dan pegawai pasukan.
Jadi kini, bagaimanakah Pan-gon dan pasukan kejurulatihannya mampu menilai sejauh mana potensi pemain jika hanya dua beraksi dua perlawanan, adakah prestasi lampau menjadi ukuran atau masih ada lagi peranan suara-suara dari pihak luar agar pemain tertentu dipilih untuk aksi persahabatan kali ini.
Namun berdasarkan perkembangan semasa dan juga kenyataan Pan-gon ketika diperkenalkan secara rasmi baru-baru ini, barisan pemain yang bakal membarisi Harimau Malaya kriteria pemilihan pemain adalah lebih kepada mereka yang mampu menyumbang impak positif terhadap skuad negara.
PAN-GON TIDAK PEDULI

Jujur penulis membayangkan, panggilan pemain kali ini pastinya bakal didominasikan pemain-pemain JDT dari semua posisi dengan gandingan pemain muda dan berpengalaman.
Selain itu, pemain KL City antaranya Kenny Pallraj dan Akram Mahinan serta adik beradik Lambert mungkin tersenarai kali ini.
Darren Lok dan S Kumaahran dari PJ City FC, begitu juga beberapa pemain dari KDA FC dan NSFC serta Selangor FC pastinya turut sama tersenarai.
Bagi pemain Sri Pahang FC dan Terengganu FC mungkin E Elavarasan selaku penolong jurulatih boleh mencadangkan barisan pemain berdasarkan taktikal dan corak permainan yang bakal digunapakai.
Pengendali dari Korea Selatan itu berkata dia tidak penduli mengenai status mana-mana pemain sama ada pemain tempatan, berdarah campuran atau naturalisasi.
“Saya tidak peduli sama ada pemain tempatan atau naturalisasi. Tapi saya akan memilih yang terbaik untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia,” ujarnya.
Lantas perlawanan hujung bulan ini amat penting bukan sahaja buat Harimau Malaya sudah semakin hilang taringnya dan menjadi sindiran baik lawan mahupun peminat sendiri tetapi reputasi Pan-gon serta barisan kejurulatihan yang dibawa.
Skuad Harimau Malaya akan bertemu Filipina dan Singapura pada perlawanan persahabatan bulan ini sebelum beraksi di pusingan ketiga kelayakan Piala Asia, Jun depan bertemu Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh.
Memang terlalu awal untuk menilai prestasi Harimau Malaya namun pastinya penulis dan juga peminat bola sepak tempatan ingin melihat corak permainan yang berbeza ditampilkan ‘rejim’ baharu Pan-gon sambil mengharapkan seluas-luasnya ruang dan kebebasan diberikan tanpa ada sebarang campur tangan!.
Add Comment