Bola Sepak

FAM terus berahsia pembantu Pan-gon?


Kim Pan-gon (tengah) bersama barisan jurulatihnya; (dari kiri) jurulatih penjaga gol Cho Junho, jurulatih kecergasan Dr. Gokhan Kandemir, penolong jurulatih Pau Marti Vicente dan jurulatih analisis prestasi Lim Jaehun.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

DISEBALIK majlis memperkenalkan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan yang dibawanya, lensa kamera mahupun media tempatan ternanti-nanti kelibat individu tempatan yang bakal diperkenalkan selaku penolong jurulatih.

Namun berita yang dinantikan ternyata hampa apabila tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai jawatan tersebut.

Beberapa jurulatih tempatan hangat dikaitkan dengan jawatan tersebut antaranya yang paling dekat ialah pengendali Sarawak United FC, E Elavarasan namun susuk tubuh individu berkenaan yang berusia 57 tahun tidak kelihatan langsung di Wisma FAM, pada Khamis.

Adakah FAM masih ingin terus berteka-teki ketika Pan-gon dan barisan kejurulatihan telah diperkenalkan secara rasmi ?

Ditanya mengenai individu yang dimahukan bagi jawatan tersebut, Pan-gon menjelaskan dia memerlukan sedikit masa untuk berbincang dan menilai calon yang ada sebelum membuat pengumuman rasmi.

”Saya sudah menerima beberapa maklumat calon dan mungkin cuba berjumpa mereka secara individu serta akan berbincang dengan pengarah teknikal untuk mendapatkan calon yang terbaik.

“Ia mungkin tidak terlalu lama kerana saya memerlukan seseorang untuk membantu saya, individu tempatan dan mengharapkan seseorang di sini (Malaysia) untuk memberikan maklumat yang tepat kepada saya,” katanya.

Selain Pan-gon diperkenalkan secara rasmi semalam, empat pembantunya iaitu Pau Marti Vicente selaku penolong jurulatih, Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi pasukan) turut diperkenalkan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: