Oleh : SUBKHI SUDARJI / SPORTFLEX MALAYSIA (FOTO)
SKUAD bawah 23 (B-23) tahun kebangsaan memulakan langkah sumbang dalam Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, apabila tewas 1-2 ditangan Laos di Stadium Prince, Phnom Pehn, Kemboja, pada Sabtu.
Turun dengan misi memburu kemenangan pertama dalam Kumpulan B, anak didik Brad Maloney dilihat berjaya memberi asakan pada awal permainan menyebabkan Laos terpaksa bertahan sepanjang 10 minit pertama.
Namun selepas detik tersebut, giliran Harimau Muda pula menghadapi tekanan berterusan dari lawan yang menyerang dari bahagian tengah namun benteng pertahanan bijak mematahkan serangan tersebut.
Memasuki minit ke 32, Malaysia memiliki peluang untuk berada dihadapan namun percubaan lemah dari pemain tengah, A Selvan mudah ditangkap penjaga gawang Laos, Keo Oudone Souvannasangso.
Selvan sekali lagi memiliki peluang mengegarkan gawang pada minit ke 45 namun Souvannasangso menepis percubaan berkenaan dan Malaysia diberikan sepakan penjuru.
Selepas beberapa kali gagal mengegarkan gawang, Selvan akhirnya menemui sentuhan penyudah apabila menyambut hantaran sepakan penjuru dari rakan sepasukan sebelum melepaskan rembatan deras untuk gol pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Laos tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila ketua pasukannya, Bounphachan Bounkong menjaringkan gol pada minit ke 56.
Tersentak dengan gol penyamaan itu, Harimau Muda bangkit memburu gol kedua namun gagal menembusi benteng pertahanan Laos.
Gol kedua akhirnya muncul dan menjadi milik Laos menerusi jaringan Petdhevanh Somsanid pada minit ke-79 untuk mendahului Malaysia, 2-1.
Walaupuan skuad muda negara berusaha memburu gol penyamaan namun keputusan 1-2 itu kekal sehinggalah tamat masa perlawanan.





Add Comment