Badminton

Ashraf Daniel juara Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022


On Jabbar (tengah) bergambar bersama juara acara perseorangan lelaki bawah-21 tahun, Ashraf Daniel (empat dari kanan) di Dewan NS Sport, Gelang Patah, Ahad.

KEJOHANAN Badminton Tertutup Johor 2022 edisi ke-10 yang melabuhkan tirainya dengan menyaksikan Ashraf Daniel Zakaria menafikan adiknya, Ariffin Nazri Zakaria untuk mengungguli acara perseorangan lelaki pada perlawanan akhir pada Ahad.

Ashraf yang merupakan pilihan ketiga berjaya mengatasi tentangan sengit daripada pilihan pertama dalam pertarungan yang berlangsung selama satu jam.

Mengulas aksinya, Ashraf berkata, dia sudah menjangka diberi tentangan yang sengit dari adiknya pada perlawanan akhir memandangkan mereka sentiasa berlatih bersama.

“Memang saya sudah membaca permainan adik saya dan dia mesti memberi saingan yang hebat untuk perlawanan akhir. Tetapi, saya telah berusaha sehabis baik untuk memastikan saya muncul pemenang pada perlawanan akhir.

“Syabas juga buat adik saya kerana telah mara sehingga ke perlawanan akhir. Saya berbangga dapat berkongsi saat manis ini bersamanya,” jelas Ashraf.

Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Christopher Raj (tengah) bersama-sama dengan finalis acara beregu lelaki bawah-12 tahun ketika Majlis Penutup & Penyampaian Hadiah Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022 di Dewan NS Sport, Gelang Patah, Ahad.

Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia & Sukarelawan) On Jaabar.

Dalam pada itu, persembahan bertenaga dari Dania Sofea berjaya memastikannya muncul juara perseorangan perempuan bawah-16 tahun. Dia tidak berdepan masalah apabila hanya memerlukan 20 minit untuk menewaskan Seong Ler Yee 21-8, 21-4.

Walaubagaimanapun, Dania yang turut beraksi di dalam acara beregu perempuan bawah-16 tahun sekadar berpuas hati muncul naib juara.

Dia yang berpasangan dengan Tang Wang Ling menduduki tempat kedua di belakang gandingan Tania Nair – Wong Yue Qin dalam saingan yang menggunakan format round robin.

Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2022 yang mendapat sokongan daripada Majlis Sukan Negeri Johor, YOUNG-International, ShekhinahPR Sdn. Bhd, NS Sport dan Ibis Styles itu telah mempertandingkan sebanyak empat kategori iaitu bawah 21, bawah 16, bawah 14 dan juga bawah 12 tahun dengan sebanyak 330 peserta mengambil bahagian.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: