Bola Sepak

Manzoor anggap hanya ‘khabar angin’ dikaitkan dengan Harimau Malaya


Manzoor Azwira (tengah) bersama pasukan kejurulatihan Penang FC musim 2022. Foto: Penang FC

Oleh: AMMAR HAZIQ

“SAYA anggap perkara tersebut sebagai khabar angin sahaja namun tetap bangga kerana dikaitkan dengan jawatan pembantu  jurulatih pasukan kebangsaan,” kata Penolong Jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid.

Jelas Manzoor, fokusnya kini adalah bersama pasukan Harimau Kumbang pada saingan Liga Malaysia 2022 selepas berjaya membantu pasukan tersebut muncul pasukan ketiga terbaik Liga Super musim lalu.

“Saya mahu memberi tumpuan kepada Penang FC kerana pada waktu yang sama perlu menghormati kontrak bersama kelab ini,” ujarnya.

Pengendali berusia 45 tahun ini berkata, satu penghormatan buat dirinya apabila dikaitkan dengan jawatan tersebut bagi membantu Ketua Jurulatih Harimau Malaya kelahiran Korea Selatan, Kim Pan Gon.

Tambah anak jati Pulau Pinang ini, dia juga tidak dihubungi oleh pihak berwajib seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) setakat ini dan menganggap perkara tersebut tidak lebih sekadar akhbar sahaja terutamanya di media sosial.

Terdahulu, tinjauan Cakap Sukan di media sosial mendapati rata-rata penyokong Penang FC mahu Manzoor Azwira terus kekal bersama pasukan Harimau Kumbang.

Pengendali itu tidak asing buat penyokong pasukan itu apabila berjaya membantu Penang FC untuk layak ke Liga Super 2020 selepas berada di tangga ketiga Liga Perdana 2019.

Bagaimanapun, mereka terpaksa akur jatuh ke tangga ketujuh selepas dikenakan pemotongan enam mata pada penghujung musim akibat gagal menyelesaikan masalah kewangan dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh FAM.

Pasukan tersebut bangkit dengan lebih garang dalam saingan Liga Perdana 2020 untuk kembali mendapatkan slot Liga Super musim 2021 juga di bawah bimbingan Manzoor Azwira.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: