Badminton

Beregu muda negara perlu ubah minda – Rexy


Rexy Mainaky

BARISAN muda beregu negara perlu mengikis sikap rendah diri atau terlalu menghormati pasangan handalan sehingga merencatkan perkembangan prestasi diri sendiri.

Sebaliknya, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mahukan beregu muda negara mencabar diri untuk memberi saingan bermakna kepada lawan lebih ternama.

Rexy yang juga legenda beregu Indonesia, mahukan anak-anak buahnya menerapkan sikap daya saing yang tinggi untuk menjadi pasangan yang disegani.

“Ini semuanya tentang minda. Kalau ini dapat diatasi, pasti ada perubahan pada pendekatan mereka.

“Buat masa ini, mereka tidak perlu melihat terlalu jauh. Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan adalah untuk memberi saingan kepada dua beregu utama dalam skuad negara sekarang.

“Harus cabar diri untuk menundukkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Izzuddin (Rumsani)-Goh Sze Fei terlebih dahulu,” kata Rexy.

Aaron Chia (kanan) dan Soh Wooi Yik.

Menurutnya, itulah tanda aras yang perlu dikejar pasangan muda dalam skuad negara dalam menerapkan keyakinan awal sebelum berjuang di pentas lebih tinggi.

“Tidak salah untuk menghormati pemain yang lebih hebat tapi bukan sampai tidak boleh bermain seperti biasa ketika menentang mereka. Sebaliknya gunakan kesempatan itu untuk memastikan lawan tersebut turut menghormati mereka.

“Sewaktu saya melatih England dulu, Anthony Clark (pemain beregu) ada meletakkan sasaran menundukkan pasangan handalan lain di dunia tetapi saya katakan kepadanya untuk cuba menundukkan pasangan utama skuad itu, Simon Archer-Nathan Robertson terlebih dahulu,” katanya.

Sebagai rekod, Rexy pernah melatih skuad kebangsaan England selepas dia menggantung raketnya pada 2001 sebelum menyertai BAM untuk kali pertama empat tahun selepas itu.

Antara beregu muda dalam skuad negara ketika ini adalah Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Chang Yee Jun-Chia Weijie dan Wan Arif Wan Junaidi-Mohd Haikal Nazri.

Pada masa sama, Rexy berkata pemain-pemain juga boleh mengambil contoh dua bekas bintang beregu Indonesia iaitu Tony Gunawan dan Sigit.

“Mereka ini sentiasa memberikan komitmen tinggi dalam perlawanan dan tidak akan memberi peluang kepada lawan terutama muka baru.

“Tindakan mereka ini hanya untuk memastikan lawan mereka kekal gentar apabila berdepan mereka dalam pertemuan seterusnya,” kata Rexy.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: