
Oleh : SUBKHI SUDARJI / KHAIRUL AKMA
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak akan mendaftarkan jaguh perseorangan utama negara, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei dari menyertai mana-mana kejohanan peringkat antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Januari lalu.
Timbalan Presiden II BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, bagaimanapun kedua-dua pemain ini boleh mengemukakan rayuan atas keputusan ini.
“Ketika dalam salah satu perbincangan bersama jawatankuasa, Zii Jia meletakkan syarat baru bagi meneruskan kerjayanya bersama BAM. Selepas perbincangan panjang dilakukan, BAM memutuskan untuk menolak syarat berkenaan.
“Antara syarat yang diletakkan Zii Jia adalah untuk mempunyai barisan kejurulatihan dan pasukan sokongan sendiri, merancang kejohanan yang mahu disertainya sendiri dan untuk mempunyai penaja sendiri.
“Bagi menghargai bakat dimilikinya yang diasah BAM sejak 11 tahun lalu, BAM menawarkan insentif lumayan termasuk pembayaran wang tunai. Bagaimanapun, Zii Jia menolak tawaran berkenaan.
“Selepas perbincangan secara menyeluruh dilakukan, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa 18 Januari,” jelasnya pada sidang media, sebentar tadi.
Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Presiden 1 BAM, Datuk V Subramaniam dan Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.
Untuk rekod, semua pemain perlu mendapatkan kelulusan persatuan bagi menyertai kejohanan di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Add Comment