
BEKAS pemain dan jurulatih negara, Datuk M.Kuppan meninggal dunia pada usia 84 tahun pada Khamis.
Menurut perkongsian Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Media Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Christopher Raj, mendiang pernah membawa Malaysia menjuarai Piala Raja Thailand (1975 dan 1976) serta Pestabola Merdeka 1976.
Mendiang juga antara watak penting dalam membawa Pulau Pinang menjuarai Piala Malaysia pada 1974.
Sebagai pemain, mendiang Kuppan telah menyarung jersi negara selama 8 tahun, manakala bersama Pulau Pinang selama 10 musim.
Sementara itu, Legasi Lagenda turut mengucapkan takziah kepada mendiang Kuppan.
“Pasukan Malaysia di bawah kendalian beliau telah berjaya memenangi Piala Merdeka, Piala Raja Thai dan pingat emas Sukan SEA.
“Pada tahun 1961, Kuppan diserapkan ke dalam pasukan kebangsaan yang meraih pingat emas pertama Malaya dalam sukan bola sepak di Sukan SEAP Rangoon.
“Beliau juga diberikan nama samaran ‘Jetboots’ sempena kelincahan larian di bahagian sayap kanan padang. Segala jasa sang legenda Dato’ M. Kupan dan pengorbanan serta kejayaan beliau dalam dunia bola sepak Malaysia amat kami hargai.”
Jenazah mendiang akan di bawa ke kediaman di Bagan Ajam untuk ziarah dan penghormatan terakhir pada Jumaat, 31 Disember 2021.





Add Comment