
Oleh: AMMAR HAZIQ
PASUKAN bola sepak wanita Red Eagles memperolehi motivasi awal bagi persiapan Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2022 apabila muncul johan Kejohanan Jemputan 4 Penjuru anjuran Womens in Football (WIF) pada 4 dan 5 Disember lalu.
Pasukan yang berpangkalan di Jitra Kedah itu menewaskan Sri Kandi FC dari Perak menerusi jaringan 1-0 pada perlawanan akhir di Kopa Arena Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Ketua jurulatihnya, Irwan Rashidi berkata, kejohanan tersebut tidak mengukur akan prestasi pasukannya malah lebih kepada rangkaian komuniti bola sepak wanita di kawasan utara.
Bagaimanapun menurutnya, kejayaan tersebut sedikit sebanyak mampu meningkatkan kembali moral pemain-pemainnya selepas tidak menyertai sebarang kejohanan pada tahun 2020 akibat Covid-19.
“Red Eagles FC dalam rangka persiapan kejohanan PTSR 2022 berjaya menjaringkan tujuh gol dalam empat perlawanan sepanjang kejohanan ini berlangsung. Pemain kami, Haniza Shaarani muncul penjaring terbanyak dengan empat gol.

“Kami harap kejayaan ini mampu suntik semangat pemain-pemain sebelum memasuki musim 2022. Banyak lagi kejohanan yang menjadi sasaran antaranya adalah PTSR 2022 yang akan diadakan secara zon terlebih dahulu,” katanya kepada CAKAP SUKAN.
Dua lagi pasukan yang menyertai kejohanan jemputan tersebut itu adalah Penang Indian Football Association (PIFA) dan Ale Ale FC dari Johor.
Dalam perkembangan sama, Irwan berkata, kelab tersebut mengalu-alukan tajaan mana-mana pihak yang mahu bersama membantu menaja pasukan tersebut untuk mengembangkan lagi bakat pemain wanita dalam sukan tersebut.
“Kami kini bergerak sendiri disebabkan atas minat dan Akademi Red Eagles turut dibuka di Jitra bagi terus mencungkil bakat baharu. Latihan diadakan pada setiap hari Jumaat dan Sabtu,” katanya.
Antara pencapaian Red Eagles sejak diwujudkan pada tahun 2016 adalah muncul pemenang tempat ketiga kejohanan tempatan pada tahun sama.
Mereka mula mengorak langkah apabila muncul juara Liga Bolsepak Rakyat pada 2017 dan naib juara PTSR pada tahun sama di Miri, Sarawak.
Red Eagles muncul juara PTSR pada 2018 di UiTM Shah Alam namun gagal mengekalkan kecemerlangan itu apabila muncul naib juara PTSR pada 2019 di Shah Alam, Selangor.





Add Comment