
Oleh: AMMAR HAZIQ
DFZ agency Sdn Bhd yang sebelum ini menjadi penaja utama kepada pasukan sepak takraw Pulau Pinang, Penang Black Panthers selama tiga tahun dijangka kembali menaja pasukan lain pada Sepak Takraw League (STL) 2022.
Perkara tersebut dimaklumkan sumber terdekat Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abd Hafiz Abd Majid kepada Cakap Sukan dan mereka dijangka turut membawa beberapa pemain berpengalaman untuk memperkuatkan pasukan tersebut.
Tidak memperincikan lebih jelas identiti pasukan baharu itu, sumber itu berkata, perbincangan telahpun mencapai kata sepakat dan akan ada majlis MoU bersama dua pihak dalam masa terdekat ini.
“Beberapa pemain takraw negara juga akan dibawa untuk bersama pasukan baharu tersebut pada musim 2022. Selain itu seorang pemain kebangsaan Thailand dan seorang pemain kebangsaan Indonesia juga dijangka dibawa untuk memperkuatkan pasukan tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Tambah sumber tersebut, keputusan untuk tidak menaja Penang Black Panthers musim hadapan adalah disebabkan untuk melebarkan lagi sayap perniagaan ke negeri lain.
Menurutnya, pasukan baharu yang bakal ditaja ini adalah pasukan kedua selepas skuad sepak takraw Pulau Pinang itu yang ditaja pada tahun 2017, 2018 dan 2019.
“Pada tahun 2020, syarikat ini tidak menaja mana-mana pasukan dan pada tahun 2021 STL dibatalkan disebabkan oleh Covid-19,” katanya lagi.
Add Comment