Bola Sepak

Taring Harimau Malaya tak sempat diuji!


Pengurus pasukan skuad kebangsaan, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi

Oleh :  SUBKHI SUDARJI

HASRAT Harimau Malaya untuk menguji taring dengan mengatur aksi persahabatan bertemu Timor Leste sebelum kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 bermula bulan depan berkemungkinan tidak kesampaian.

Pengurus pasukan skuad kebangsaan, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, ia berikutan kekangan masa memandangkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini hanya akan berlepas ke Singapura pada 3 Disember.

“Sebenarnya memang harapan ketua jurulatih (Tan Cheng Hoe) untuk mengadakan satu aksi persahabatan sebelum aksi pembukaan peringkat kumpulan nanti.

“Namun, situasi itu sukar untuk direalisasikan kerana kita hanya akan berlepas ke Singapura pada 3 Disember manakala aksi pertama bertemu Kemboja pula pada 6 Disember nanti.

“Jika pasukan dapat berlepas awal pada 1 Disember mungkin tidak mustahil tetapi terdapat kekangan ketika ini menyaksikan pasukan hanya boleh berlepas mengikut jadual pada 3 Disember,” katanya.

Semalam Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar memaklumkan, FAM sudah merancang untuk mengatur satu aksi pemanas badan buat skuad Harimau Malaya menentang Timor Leste sebelum mengharungi kempen Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura pada bulan depan.

Namun FAM masih lagi memperhalusi mekanisme selain perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) terlebih dahulu.

“Selepas Brunei sah menarik diri daripada kempen Piala AFF Suzuki 2020 sebelum ini, hanya ada satu pasukan yang boleh kita atur aksi persahabatan iaitu Timor Leste.

“Namun, kita perlu dapatkan kelulusan daripada AFF kerana ada syarat untuk mengaturkan aksi persahabatan di Singapura kerana kita masih tidak boleh bermain sini (Malaysia),” ujarnya.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: