Bola Sepak

Piala AFF Suzuki 2020; Liridon tiada dalam perancangan Harimau Malaya


Skuad kebangsaan tidak berhasrat memanggil Liridon untuk bersama pasukan menyertai kejohanan Piala AFF Suzuki 2020.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PEMAIN naturalisasi negara, Liridon Krasniqi dijangka tidak berada dalam senarai barisan pemain yang akan mengalas cabaran Malaysia pada kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 yang berlangsung di Singapura bermula 5 Disember nanti.

Pengurus pasukan Harimau Malaya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pendekatan pemilihan pemain skuad kebangsaan adalah berdasarkan prestasi semasa.

“Saya boleh katakan setakat ini perbincangan dengan Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, Liridon tidak berada dalam senarai untuk dibawa ke kejohanan Piala AFF 2020 nanti.’

“Kita melihat Liridon tidak beraksi banyak perlawanan, jadi kita tidak mahu masalah yang berlaku di Emiriah Arab Bersatu  UAE sebelum ini dari segi kecergasan berulang.

“Untuk mengatakan kita akan membawa dia masuk dalam pasukan buat masa ini agak sukar,” katanya.

Prestasi Liridon bersama Harimau Malaya ketika kempen kelayakan kempen pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerima kritikan daripada peminat bola sepak negara dengan menyifatkan pemain kelahiran Kosovo itu tidak mempunyai kualiti untuk bermain bersama pasukan kebangsaan.

Liridon yang berhijrah dari Kedah untuk menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) kini beraksi dengan kelab Australia, Newcastle Jets secara pinjaman.

Pada kempen Piala AFF 2020, Malaysia diundi dalam Kumpulan B yang juga ‘kumpulan maut’ akan membuka tirai kempen menentang Kemboja pada 6 Disember diikuti Laos (9 Dis) dan dua pertembungan epik menentang Vietnam (12 Dis) serta Indonesia (19 Dis) untuk meraih slot ke separuh akhir.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: