
PASUKAN badminton negara terkandas dalam saingan suku akhir Piala Thomas kepada musuh tradisi, Indonesia 0-3 di Aarhus, Denmark malam ini.
Sebelum perlawanan, rata-rata menaruh harapan untuk melihat pasukan negara mara ke separuh akhir sekali lagi selepas 2016, namun masih belum berjaya memperbaharui rekod ini.
Jaguh perseorangan negara Lee Zii Jia memulakan perjuangan untuk mencari mata pertama buat negara, namun dikecewakan dengan pemain di ranking kelima dunia, Anthony Ginting yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan keputusan 15-21, 17-21 dalam tempoh 50 minit.
Zii Jia,24, mengakui lawannya malam ini lebih agresif dan pamerkan kelajuan yang berbeza.
“Bagi saya semua perlawanan penting, namun ada kalah dan menang.
“Selepas ini ada banyak lagi kejohanan dan saya harap dapat rehat yang cukup. Secara keseluruhannya, saya nampak semua ada ‘improvement’,” jelas kapten pasukan negara selepas perlawanan.

Sementara itu, harapan untuk meraih mata menerusi pasangan beregu pertama negara juga tidak kesampaian apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik tunduk kepada beregu pertama dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, 17-21, 21-16, 15-21.
Pada aksi ketiga perseorangan lelaki, pemain muda negara, Ng Tze Yong yang berusia 21 tahun mempamerkan aksi menarik dengan membawa perlawanan ke rubber-set ke atas pemain ketujuh dunia, Jonatan Christie.
Namun, dia tewas 21-14, 19-21, 16-21 sekaligus menyaksikan Indonesia menang dengan keputusan 3-0.







Add Comment