
PASUKAN Piala Uber Malaysia akhirnya menutup tirai kejohanan tanpa kemenangan selepas tewas 1-4 kepada Kanada dalam aksi terakhir Kumpulan D awal pagi Selasa.
Aksi kekalahan mengejut ini bermula dengan perlawanan perseorangan wanita, S.Kisona yang gagal mempamerkan aksi terbaik selepas tewas kepada pemain di ranking ke-183 dunia Talia Ng, 9-21, 14-21.
Ia disusuli dengan aksi pasangan beregu negara, Teoh Mei Xing-Yap Ling juga tewas kepada beregu Rachel Honderich-Kristen Tsai 10-21, 14-21 dalam tempoh 69 minit.
Satu lagi aksi perseorangan wanita, Woon Qi Xuan turut tewas mudah kepada Rachel Chan dengan 12-21, 13-21 dalam tempoh 33 minit.
Gandingan baharu Go Pei Kee-M.Thinaah cuba merapatkan jurang dengan menyumbang mata pertama mengatasi Catherine Choi-Crytal Lai apabila mencatat kemenangan dalam tempoh 36 minit, 21-12, 21-13.
Bagaimanapun aksi terakhir dari K.Letshanaa menyaksikan pemain muda ini tersungkur di tangan Wen Yu Zhang dengan keputusan 17-21, 21-16, 12-21.
Add Comment