Bola Sepak

MFL benarkan penyokong ke stadium bermula 29 Oktober ini

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Ab Ghani memberitahu MFL perlu membuat persiapan terlebih dahulu sebelum membenarkan penyokong masuk ke stadium.

 

MALAYSIAN Football League (MFL) mengumumkan bahawa semua penyokong akan dibenarkan memasuki stadium bermula dengan perlawanan minggu ketiga TM Piala Malaysia pada 29 Oktober 2021.

Keputusan itu dibuat susulan pengumuman baharu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam yang membenarkan kehadiran penonton atau penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4.

Menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik, kebenaran itu meliputi sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi dengan syarat penonton atau penyokong telah menerima vaksinasi lengkap, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan dan minum sepanjang berada di stadium.

Bagaimanapun kanak-kanak sehingga remaja berusia bawah 18 tahun ke bawah masih tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung.

Menurut Presiden MFL, Datuk Ab Ghani, beliau amat berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas keputusan itu yang dilihat bukan sahaja memberikan perkhabaran gembira buat penyokong bola sepak tempatan malah bakal menyemarakkan kembali industri bola sepak negara.

“Selepas penyokong tidak dibenarkan masuk sejak 9 Mei 2021 akibat lonjakan kes Covid-19 di negara ini, Inilah perkhabaran gembira yang ditunggu-tunggu oleh kita semua khususnya penyokong-penyokong yang amat merindukan aksi bola sepak di stadium. Apatah lagi dalam suasana ketika kita semua meraikan ulang tahun ke-100 TM Piala Malaysia yang kini sedang berlangsung.

“Sudah pasti setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan pihak MKN kerana membuka semula sekatan penyokong untuk kembali ke stadium serta acara-acara sukan yang lain selepas sekian lama venue kita cukup sepi tanpa kehadiran penyokong yang turut memberi impak kepada kelangsungan ekonomi dalam sektor sukan tanah air,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelas Ab Ghani, pihak MFL amat memahami keinginan penyokong untuk segera hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan di stadium selepas mendapat kebenaran kerajaan namun MFL dan semua pasukan yang bertanding dalam TM Piala Malaysia perlu membuat persiapan terlebih dahulu sebelum menerima kehadiran ‘pemain ke-12’ ke stadium.

“MFL membuat keputusan untuk membenarkan penyokong hadir ke stadium bermula perlawanan minggu ketiga TM Piala Malaysia iaitu pada 29 Oktober 2021, ini kerana saingan itu akan berehat seketika selepas perlawanan minggu kedua esok (1 Oktober 2021) bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa skuad kebangsaan.

“Pihak MFL juga masih menunggu peratusan kemasukan penyokong ke stadium di negeri-negeri mengikut fasa 2, 3 dan 4 yang akan dimaklumkan oleh KBS bersama dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) sukan yang ditetapkan. MFL juga akan membuat keputusan sama ada akan membenarkan penyokong masuk ke stadium jika ada pasukan merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan ketika tempoh TM Piala Malaysia berehat apabila kami mendapat SOP terperinci daripada KBS nanti.

“Justeru, tempoh yang ada ini akan digunakan MFL untuk memperincikan SOP kemasukan penyokong ke stadium bersama MKN dan KKM selain pasukan-pasukan diberikan masa untuk membuat persiapan di venue pertandingan sebelum menerima kehadiran penyokong. Ini penting bukan sahaja untuk melancarkan pengelolaan perlawanan malah bagi menjamin keselamatan semua pihak yang hadir ke stadium.

“MFL amat menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan kerana kita mahu kebenaran daripada pihak kerajaan ini dibuka untuk tempoh lebih lama dan saya menyeru kepada semua khusus kepada penyokong agar sentiasa berdisiplin mematuhi SOP yang ditetapkan dalam memastikan tiada kes Covid-19 berlaku sepanjang mereka turun ke stadium,” katanya.

Tahun lalu, kali terakhir perlawanan Liga Malaysia berlangsung dengan kehadiran penyokong di stadium pada 11 Mac 2020 yang menyaksikan perlawanan Liga Super pertama sehingga ketiga berlangsung dalam tempoh itu.

Bagi tahun ini, perlawanan terakhir yang berlangsung dengan kehadiran penonton di stadium pada 9 Mei 2021 yang membabitkan perlawanan Liga Super keenam sehingga ke-13.

Pihak kerajaan ketika itu telah membenarkan kemasukan penyokong berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat di mana hanya 10 peratus dari kapasiti stadium atau 2,000 penonton dibenarkan, dan 25 peratus atau 8,000 orang dibenarkan bagi kawasan PKP Pemulihan.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: