
MENTERI Belia dan Sukan yang baharu dilantik, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin dedikasi dan kesungguhan para belia akan menjadi nadi penggerak penting untuk bangkit.
“Saya menjunjung setinggi kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan kepercayaan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) untuk memberi khidmat bakti melalui Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.
“Saya amat berbesar hati berpeluang untuk memberi khidmat kepada seluruh warga belia Malaysia.
“Saya juga bersyukur dapat berperanan dalam meletakkan sukan sebagai pemangkin perpaduan dan melonjakkan nama negara di persada dunia,” tulisnya di laman Facebook, Jumaat.
Tambah Ahmad Faizal, pengalaman panjang bersama gerakan belia mengukuhkan pandangan bahawa warga belia merupakan nadi kepada negara.
“KBS mempunyai peranan penting untuk memperkukuh naratif ‘Keluarga Malaysia’ yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.
“Saya yakin, dalam suasana cukup mencabar ini, dedikasi dan kesungguhan para belia akan menjadi nadi penggerak penting untuk kita bangkit semula.
“Memahami hasrat Perdana Menteri untuk Barisan kabinet segera melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, saya meletakkan diri saya dalam keadaan bersedia dan akan patuh kepada arahan-arahan yang akan diberikan beliau dari semasa ke semasa.”
Add Comment