Bola Sepak

2 pemain Kedah positif Covid-19, MFL tunda aksi

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

SAINGAN Liga Malaysia 2021 yang direhatkan hampir dua bulan dan kembali bersambung esok menerima berita kurang menyenangkan apabila dua pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) didapati positif Covid-19.

Dua pemain berkenaan disahkan positif COVID-19 menerusi ujian PCR yang dilakukan ke atas pemain ketika pemain ingin mendaftar masuk semula ke dalam Camp Based Training selepas cuti Hari Raya Aidiladha.

Mengambil kira faktor keselamatan dan kebaikkan semua pihak, perlawanan membabitkan KDA FC menentang Penang FC esok di Stadium Darul Aman terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, keputusan menunda perlawanan berkenaan dibuat selepas dua pemain Kedah telah didapati positif COVID-19.

Jelas beliau, MFL bersetuju untuk menunda perlawanan berkenaan selepas mendapat nasihat daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah susulan kes berkenaan dikesan.

“Pihak MFL dimaklumkan oleh pihak pengurusan Kedah bahawa dua pemain disahkan positif COVID-19 menerusi ujian PCR yang dilakukan ke atas pemain ketika pemain ingin mendaftar masuk semula ke dalam Camp Based Training selepas cuti Hari Raya Aidiladha.

“Ujian ini adalah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh MFL kepada semua pasukan untuk pemain memulakan Camp Based Training bagi menjaga Gelembung Sukan.

“Justeru, perlawanan Kedah dengan Penang FC terpaksa ditunda bagi membolehkan pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah untuk membuat semakan mengenai status semua pemain-pemain serta pegawai Kedah terlebih dahulu.

“Kedua-dua pemain berkenaan dikesan positif COVID-19 ketika tidak bersama pasukan dan bukan berada di dalam gelembung sukan.

“Di sini pihak pengurusan Kedah mematuhi SOP yang ditetapkan dengan melakukan ujian ke atas pemain untuk mengesan kes lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dato’ Ab Ghani berkata, tarikh baharu perlawanan berkenaan akan dimaklumkan kelak dan berharap agar semua pemain dan pegawai terus meningkatkan pematuhan SOP bagi menjaga Gelembung Sukan demi kelancaran Liga Malaysia 2021.

“Saya berharap semua pemain dan pegawai tidak leka dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerana ini penting untuk melindungi diri dan orang sekeliling daripada dijangkiti COVID-19. Liga Malaysia akan kembali bersambung pada esok 24 Julai 2021 dan diharap agar semua pasukan lebih berhati-hati dengan wabak ini demi kelangsungan saingan musim ini,” katanya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: