Lain-Lain

Kontinjen negara ke Tokyo 2020; Anda tidak bersendirian

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Ismail Sabri (dua,kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Norza Zakaria pada Majlis Amanat Perdana kepada kontinjen Olimpik dan Paralimpik secara maya.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melontarkan keyakinan ke atas kemampuan kontinjen negara untuk menghadirkan berita gembira dari Tokyo buat penyokong tanah air.

Lantas kontinjen negara yang beraksi di Tokyo 2020 jelas tidak bersendirian kerana mereka turut membawa sokongan lebih 32 juta rakyat Malaysia untuk menghadapi temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020.

Tegasnya, kontinjen negara perlu bersaing dengan semangat yang tinggi untuk mencipta kebanggaan demi negara dan meletakkan nama Malaysia di persada sukan antarabangsa.

“Saya dapat rasakan seluruh rakyat Malaysia sehati sejiwa memberi sokongan padu kepada atlet negara untuk meraih pencapaian terbaik dalam kejohanan sukan paling berprestij dunia itu. Ini membuktikan anda semua tidak bersendirian dalam perjuangan ini.

Ismail Sabri menyifatkan kejayaan membawa pulang pingat adalah kebanggaan buat negara.

“Pesanan saya adalah perjuangan di Sukan Olimpik bukanlah untuk mencipta pencapaian diri semata-mata, sebaliknya kejayaan membawa pingat emas ataupun apa apa pingat adalah kebanggaan buat negara.

“Seluruh rakyat Malaysia menaruh harapan tinggi untuk melihat Jalur Gemilang berkibar megah di langit Tokyo dan yang kita nantikan adalah lagu Negaraku bergema di bumi Matahari Terbit itu.

“Saya amat yakin dengan kemampuan anda semua. Berjuanglah berhabis-habisan demi memastikan nama negara subur dan harum di persada antarabangsa.

“Selamat berjuang buat kontinjen Malaysia,” katanya pada Majlis Amanat Perdana kepada kontinjen Olimpik dan Paralimpik secara maya.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: