Sepak Takraw

Zuraidin terus kekal terajui Gastak

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Oleh : FARIZAL YUSOFF

PRESIDEN Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak), Zuraidin Abdullah kekal menerajui persatuan itu sepenggal lagi apabila menang tanpa bertanding dalam Mesyuarat Agung Tahunan bagi sesi 2021- 2023 yang diadakan melalui dalam talian, malam tadi.

Mesyuarat yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat menyaksikan Timbalan Presiden, Tengku Adnan Tengku Burhanuddin turut mengekalkan jawatan.

Sedikit kejutan berlaku apabila penyandang jawatan Naib Presiden, Muhammad Che Nuh dan Wan Zulkifli Wan Mustafa membuat keputusan untuk tidak bertanding demi memberi laluan kepada muka baharu bagi memperkasakan Gastak.

Kekosongan itu diisi oleh mantan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong  dan bekas setiausaha, Azimi Mahmod yang akan bergandingan dengan Ahmad Shazwan Mohamad Hassan.

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Wan Hassan Wan Ibrahim (Semerak) dan Azhar Salleh (Pulai Chondong) bersama Kamaruddin Hamat, Roslin Hamzah dan Syakir As-Salam Ya dipilih mengganggotai Jawatankuasa Kerja Tertinggi Gastak.

Jawatan Setiausaha Kehormat pula menjadi milik Pengerusi Kelab Belia Pasir Puteh, Norul Hazizi Ismail.

Sementara itu, dalam ucapannya, Zuraidin yang juga Adun Chetok mengalu-alukan kehadiran beberapa muka baharu dalam Gastak dan yakin pengalaman yang ada bersama mereka mampu membawa persatuan ini lebih berdaya saing.

“Terima kasih atas kesudian ‘nama besar’ Datuk Seri (Zolkples) yang sudi menerima pencalonan dan sekarang secara rasmi dilantik sebagai Naib Presiden.

“Seorang tokoh sukan negara yang tidak perlu diperkenalkan lagi dan saya yakin gabungsn tokoh muda dan berpengalaman akan terus perkasakan persatuan ini.

“Insya-Allah, amanah yang diberikan akan kami pikul demi mewujudkan sebuah persatuan takraw yang dinamik dan progresif.

Zuraidin yang juga Timbalan Pengerusi Belia, Sukan dan NGO Kelantan berjanji akan terus memperkasakan pembangunan sukan sepak takraw di Kelantan.

“Alhamdulillah, kita akan terus bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kelantan untuk terus melahirkan pemain berbakat.

“Beberapa siri pertandingan peringkat dalaman akan diadakan dengan lebih kerap selepas pandemik Covid-19 ini berakhir.

“Selain itu, kebajikan pemain akan terus dijaga kerana mereka adalah aset utama negeri dan yang paling penting, impian menjadikan Kelantan sebagai kuasa utama sepak takraw negara akan terus diperhebatkan,” ujarnya.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: