Lain-Lain

KBS masih tunggu laporan pengesahan ‘Malaysia tidak dibenar ke Sukan Olimpik Tokyo’

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberitahu pihaknya  akan mendapatkan pengesahan dan maklumat terperinci dari Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Malaysia di Jepun mengenai kemungkinan Malaysia tidak dibenarkan menyertai temasya Olimpik Tokyo 2020.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil maklum berkenaan laporan media mengenai 10 buah negara yang berkemungkinan tidak dibenarkan menyertai temasya Olimpik Tokyo 2020 termasuklah Malaysia.

“Saya ambil maklum berkenaan laporan media mengenai 10 buah negara yang berkemungkinan tidak dibenarkan menyertai temasya Olimpik Tokyo 2020 termasuklah Malaysia.

“Ia juga berkait dengan senarai 159 buah negara yang dihalang daripada memasuki negara Jepun seperti mana siaran pemakluman oleh Kementerian Luar Negeri Jepun.

“Siaran pemakluman tersebut juga turut menyentuh pengecualian yang boleh diberikan kepada beberapa kategori rakyat asing termasuklah “athletes and other persons concerned with Olympic and Paralympic Games Tokyo 2020.

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) supaya berhubung dan berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta semua pihak yang berkaitan untuk mendapat pengesahan dan maklumat terperinci berkenaan perkara ini.

“KBS juga sentiasa berhubung rapat dengan pihak Kementerian Luar Negeri dan Kedutaan Malaysia di Jepun bagi mendapatkan sebarang perkembangan lanjut,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu Reezal memberitahu momentum persiapan atlet negara berada pada tahap yang baik termasuklah persediaan latihan fizikal dan mental ke temasya Olimpik Tokyo 2020 yang akan berlangsung kira-kira 46 hari sahaja lagi.

“Di samping persiapan terbaik untuk atlet, KBS akan sentiasa memastikan keselamatan dan kesihatan atlet, jurulatih serta pegawai yang terlibat sebagai keutamaan.

“Sebarang perkembangan terkini berkenaan perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tambahnya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: