Bola Sepak Semasa Terkini

Kedah FC mulakan latihan hadapi Piala AFC

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Barisan pemain Kedah FC akan menjalani latihan secara berpusat Camp Based Training di Stadium Mini Baling, bermula esok.

KEBENARAN latihan secara berpusat Camp Based Training bermula esok di Stadium Mini, Baling  nyata melegakan Kedah Darul Aman (KDA) FC sebagai persiapan menghadapi saingan Piala AFC pada penghujung Jun ini.

Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, latihan secara Camp Based Training ini sebagai sesuatu yang bermanfaat dalam mengukuhkan lagi ikatan sesama pemain .

Tambahnya, situasi itu adalah pertama kali buat dirinya bersama pemain-pemain lain kerana mereka dapat berkumpul untuk satu jangka masa lama malah akan membuka ruang lebih banyak perbincangan sesama mereka dalam mengukuhkan lagi kekuatan pasukan.

“ Kami sekadar menjalani latihan selama dua minggu secara di atas talian dan apabila mendapat perkhabaran ini, saya berasa lega biarpun diakui ini kali pertama saya akan ke Baling, tidak banyak yang saya ketahui bagaimana keadaan di sana.

“ Namun, situasi ini baik kepada pemain kerana mereka boleh lebih fokus sepanjang tinggal bersama di sana dan saya rasa lebih banyak ruang mampu dimanfaatkan seperti sesi video serta perbincangan dari hati ke hati bersama pemain.

“ Cuma bagi mereka yang berkeluarga dan baharu sahaja mendirikan perkahwinan seperti Ifwat Akmal dan Fayadh Zulkifli, mereka kena cepat sesuaikan diri untuk berjauhan seketika dengan orang tersayang tetapi saya yakin mereka boleh selepas beberapa hari tinggal di sini, ” katanya.

KDA FC menjadi pasukan kedua selepas Terengganu FC (TFC) yang mendapat kelulusan daripada MFL pada Isnin bagi mengadakan Camp Based Training dengan memilih Kem Pengakap Tengku Mohd Ismail sebagai tempat penginapan pemain bagi menjalani latihan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali, berkata, Baling dipilih sebagai destinasi mengadakan latihan sepanjang tempoh Pergerakan Kawalan Pergerakan (PKP).

Situasi itu berikutan daerah Kota Setar telah dikenakan Perintah Kawalan Perintah Diperketatkan (PKPD) bermula 19 Mei lalu sehingga 1 Jun yang memaksa mereka mencari tempat penginapan serta latihan baharu bagi melaksanakan pendekatan Camp Based Training.

“ Memandangkan Alor Setar tidak boleh kami mengadakan sebarang latihan pada waktu ini selain beberapa tempat lain seperti Jitra, Kubang Pasu juga dikenakan PKPD, kami lihat Baling jadi kawasan paling sesuai.

“ Segala kemudahan di sini agak baik selain faktor kes jangkitan COVID-19 di sini masih terkawal yang mungkin menjadikan peluang untuk dikenakan PKPD agak rendah berbanding kawasan-kawasan lain.

“ Malah tempat penginapan yang kami pilih iaitu di Seri Baling Inn hanya jarak dalam 400 meter sahaja memudahkan pergerakan pemain ke tempat latihan pada setiap hari, “ katanya.

Bagi memastikan segalanya terkawal, pengurusan KDA FC turut melantik anggota dari Anggota Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi mengawal keselamatan pemain sepanjang mereka bergerak dan pulang ke tempat latihan.

“ Saya faham peminat Kedah yang berada di Baling mungkin rasa teruja apabila tahu perkembangan ini tetapi buat masa ini, saya memohon kerjasama mereka untuk sama-sama menjaga keselamatan pemain.

“ Harap mereka tidak datang dan berkumpul di tempat latihan seperti amalan biasa kerana perkara ini boleh mengganggu gugat SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), mereka kena sama-sama bantu kami demi kebaikan pasukan, ” katanya.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: