
Oleh : Subkhi Sudarji / Izari Rosli (Foto)
“PEMAIN boleh sentuh pengadil namun ia bergantung kepada niat dan situasi mereka iaitu bukan bertujuan provokasi atau mendatangkan kecederaan”.
Itulah penjelasan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengenai rungutan segelintir pemerhati dan peminat bola sepak tempatan terhadap isu semasa membabitkan pengadil yang hangat diperkatakan ketika ini.
Stuart Ramalingam menjelaskan tidak semua situasi yang dilihat pemain menyentuh pengadil adalah kesalahan atau tujuan provokasi dimana terdapat situasi pemain sebenarnya menyentuh pengadil disebabkan mahukan penjelasan lanjut berkaitan keputusan yang diambil.
“Kita jangan lihat apabila ada sentuhan walaupun nampak kasar sebenarnya bagi pengadil perlawanan ketika itu tiada apa yang berlaku.
“Jika terdapat insiden berkenaan, FAM akan bertanya kepada pengadil berkenaan adakah ada unsur provokasi namun dia menjawab tiada cuma sentuhan terbabit untuk dapatkan penjelasan saja.
“Oleh itu, biarkan pengadil membuat keputusan terbabit dan dia akan tentukan sentuhan itu adakah kekerasan terhadapnya atau sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Pengadil FAM bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, sebentar tadi.
Sebelum ini, tonggak tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Fadzrul Danel Mohd Nizam kemungkinan dikenakan tindakan selepas menolak Noor Azriel Baharudin ketika aksi Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Darul Aman, pada 9 April lalu.
Selain Fadzrul, pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT) Gonzalo Cabrera dikatakan menyentuh pengadil sebanyak dua kali dalam perlawanan menentang Sri Pahang FC di Kuantan pada Jumaat lalu, namun hanya dilayangkan kad kuning.
Pemain tengah JDT, Natxo Insa juga turut melakukan perkara sama kepada Noor Azriel ketika aksi Liga Super menentang Perak FC di Stadium Perak, Ipoh pada 21 Mac lalu.
Selain itu, pemain Kelantan FC, Jack Hindle turut menolak pengadil Amirul Aizat Mohd Lodin selepas pengadil itu dilihat menghadangnya daripada melakukan percubaan dalam kotak penalti dalam perlawanan Liga Perdana antara Kelantan FC dan Perak FC II pada 6 Mac lalu.
FAM sudah memberikan amaran keras kepada Hindle dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama, manakala Natxo berdepan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000.






[…] “Pemain boleh sentuh pengadil namun ia bergantung kepada niat dan situasi mereka iaitu bukan bertujuan provokasi atau mendatangkan kecederaan,” katanya menurut laporan Cakap Sukan. […]