Badminton Semasa Terkini

Reezal kagumi semangat Zii Jia

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 

Zii Jia (dua,kanan) bersama Pearly Tan-M Thinaah mengadakan pertemuan dengan Reezal di KBS, hari ini.

ORANG Kedah kata semangat dia ‘kaw’, sewaktu dihubungi dia beritahu, ‘Saya main kaw kaw Datuk Seri’.

“Semangat ‘kaw’ dia ni lain macam, dia lawan sampai habis sama macam beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah,” jelas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika ditanya mengenai jaguh perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia.

Reezal berkata, dia mengagumi semangat juang ditampilkan Lee Zii Jia yang berjuang bagi memastikan gelaran All England menjadi miliknya.

“Semangat ditampilkan Zii Jia itu membuktikan dia tidak gentar berdepan mana-mana pemain seolah-olah tiada pemain lain yang mampu menewaskannya.

“Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin antara yang pertama mesej saya kata semangat juang yang ditampilkan Zii Jia ini lain macam walaupun berdepan pemain seperti (Viktor) Axelsen,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pemain berusia 23 tahun itu di kementeriannya , hari ini.

Zii Jia mula menjadi perhatian ramai khususnya selepas merangkul kejuaraan All England selepas kali terakhir dimenangi legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada 2017.

Pemain kelahiran Alor Setar berusia 23 tahun ini muncul juara Seluruh England, Mac lalu menewaskan juara bertahan yang juga pemain nombor dua dunia dari Denmark, Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 dalam aksi final yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham.

Sementara itu, Zii Jia menyimpan hasrat untuk bergelar pemain nombor satu dunia dan mengikuti jejak langkah legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak lama lagi.

Namun pemain berusia 23 tahun itu bagaimanapun memerlukan masa satu hingga dua tahun untuk menjadikan permainannya lebih stabil dan konsisten.

Katanya, salah satu kelemahan yang ketara pada dirinya ketika ini ialah untuk stabilkan permainan.

“Memang ada turun naik yang sangat ketara dan perkara ini sering dibincangkan bersama jurulatih. Saya rasa perlukan satu atau dua tahun untuk selesaikan masalah ini dan jadikan permainan lebih stabil.

“Memang saya harap boleh jadi pemain No.1 dunia selepas itu,” tegasnya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: