
BEKAS ratu skuasy negara, Datuk Nicol David terharu sokongan rakyat Malaysia yang sanggup meluangkan masa mengundi untuknya bagi Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia.
Memetik hantaran di Twitternya, Nicol begitu terharu apabila netizen meluangkan masa untuk mengundi dan berkongsi bersama keluarga, rakan serta sokongan pihak media
mengenai pencalonan dirinya.
“Beberapa hari kebelakangan ini, saya benar-benar terharu. Anda menawan hati saya dan saya ingin mengembalikan sepenuh hati dengan penuh rasa bersyukur kepada anda semua,” katanya.
Anak kelahiran Pulau Pinang ini semakin selesa mendahului undian bagi meraih Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia.
Mengikut catatan setakat pagi ini, Nicol telah meraih 143,339 undian.
Anugerah terbabit dianjurkan Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA) sebagai sambutan untuk ulang tahun ke-40 acara sukan dunia.
Penganjuran anugerah itu bertujuan memilih atlet terbaik sepanjang zaman yang pernah beraksi dalam mana-mana edisi sukan dunia yang diadakan buat pertama kalinya di Santa Clara, Amerika Syarikat pada 1981.
Add Comment