
SERANGAN balas yang dijelmakan Selangor nyata memberikan impak apabila dua gol terhasil yang memastikan kemaraan pasukan ke pentas suku akhir Piala Malaysia 2020.
Pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan akur dengan penamat kempen kali ini namun tetap memuji aksi para pemain yang berjuang hingga ke titisan peluh terakhir.
“Bagi saya kekalahan ini amat sedih tetapi peningkatan pasukan terutamanya separuh masa pertama sebelum pasukan lawan jaringkan gol nampak begitu tersusun. Kita mendapat banyak sepakan sudut.
“Cuma, kelalaian dalam satu serangan balas pihak lawan telah memberikan gol. Pada separuh masa kedua sekali lagi serangan balas yang dilakukan lawan telah menghasilkan gol berpunca kurang disiplin di bahagian pertahanan.
“Tapi pemain bertungkus-lumus sehingga ke wisel penamat untuk mendapat gol pertama dan kita terus menguasai permainan dalam 25 minit terakhir bagi cari jaringan penyamaan terakhir,” katanya selepas perlawanan.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, malam tadi, Melaka United tewas 2-1.
Jelas Zainal Abidin, dalam bola sepak amat penting untuk memanfaatkan peluang yang dimiliki.
“Ada peluang yang harus kita jaringkan gol dan saya ucapkan tahniah kepada pasukan Selangor dan Melaka United sendiri yang tidak mudah putus asa. Kita dapat lihat mereka berusaha hingga saat terakhir,” ujarnya.
Untuk saingan musim 2021 pula, Zainal Abidin menyerahkan segala-galanya kepada pihak pengurusan mengenai dirinya termasuklah untuk mempersiapkan pasukan mantap.






Add Comment