MALAYSIA diundi bersama-sama Indonesia, England dan Belanda dalam Kumpulan A Piala Thomas 2020 yang berlangsung sebentar tadi.
Juara 10 kali yang juga penyandang juara, China mendapat laluan mudah apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Taiwan, Perancis dan Australia.
Turut dijangka tidak menghadapi masalah adalah Denmark yang tampil selaku semifinalis 2018 yang bakal berdepan India, Jerman dan Algeria dalam Kumpulan C.
Sementara itu naib juara edisi 2018, Jepun pula dijangka menghadapi tentangan sengit setelah diletakkan bersama Korea Selatan, Thailand dan Kanada dalam Kumpulan C.
China muncul juara dua tahun lalu selepas mengalahkan seterunya, Jepun 3-1 dalam perlawanan akhir yang diadakan di Bangkok, Thailand.
Kempen Piala Thomas dan Piala Uber 2020 akan diadakan bermula 3 hingga 11 Oktober ini dengan Aarhus, Denmark diberi penghormatan menjadi tuan rumah buat pertama kali dalam sejarah pertandingan itu.
Saingan Piala Uber pula menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Indonesia dan Australia manakala Kumpulan C disertai Thailand, Denmark, Scotland dan Kanada.
Dalam pada itu, juara bertahan edisi 2018, Jepun diundi dalam Kumpulan A bersama Taiwan, Mesir dan Sepanyol manakala Kumpulan D menemukan China, India, Perancis dan Jerman.
Add Comment