Semasa Sepak Takraw

Lupakan Sobey

Kelantan Warriors terpaksa melupakan khidmat Muhammad Zulkifli (kiri) berikutan tekong kelahiran Terengganu itu tidak mendapat pelepasan daripada kerajaan negeri.

 

Hasrat Kelantan Warriors untuk mengikat bekas tekong kebangsaan, Muhammad Zulkifli Abdul Razak tidak kesampaian bagi memperkuatkan pasukan itu menghadapi saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.

Menerusi satu kenyataan media dikeluarkan Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) di laman sosial hari ini memaklumkan pengguguran nama pemain kelahiran Terengganu itu.

“Rundingan dengan pemain tersebut telah dibuat pada awal tahun lagi dan Kelantan telah mendaftarkan nama beliau dalam senarai kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) pada Mac 2020, iaitu sebelum tarikh tutup penyertaan, April.

“Tindakan mendaftarkan nama pemain ini selaras dengan peraturan pertandingan kerana beliau tidak terikat dengan mana-mana pasukan oleh kerana tidak beraksi dalam Liga STL 2019 dan dianggap sebagai pemain bebas atau ‘free agent’,” kata Setiausaha Kehormat GASTAK, Azimi Mahmood.

Cakap Sukan pada 11 Julai lalu melaporkan Muhammad Zulkifli atau lebih dikenali panggilan Sobey dan seorang lagi bekas tekong Perak Bison, Hanif Rosli secara rasmi disunting oleh GASTAK bagi menyarung jersi Kelantan Warriors.

Bagaimanapun, sebuah portal sukan semalam melaporkan Muhammad Zulkifli yang berkhidmat sebagai penjawat awam di Majlis Bandaraya Kuala Terengganu tidak mendapat pelepasan daripada kerajaan negeri sebaliknya akan beraksi bersama Terengganu Turtles pada saingan STL musim ini.

Jelas beliau, pendaftaran tersebut diterima dan tiada pertindihan nama pemain itu yang didaftarkan oleh pasukan lain.

“Maka Kelantan secara rasminya mengikat beliau, namun pelepasan majikan belum dipohon kerana tiada tarikh baru STL 2020 akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac.

“Namun pada 22 Jun lalu, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) telah memaklumkan kepada kami bahawa pasukan Terengganu baru mendaftarkan Zulkifli dan menyebabkan pendaftaran bertindih.

“Oleh kerana itu, Kelantan telah menerima Surat Terima Tawaran Bermain oleh pemain berkenaan selaras dengan Peraturan-peraturan Kejohanan Liga Sepaktakraw STL2019 dalam perkara 8.2. ia penting supaya boleh menjelaskan keadaan sebenar dan pendirian pemain tersebut.

Jelas beliau lagi sehingga semalam, pihak atasan pemain tersebut dengan jelas tidak memberikan pelepasan kepada pemain berkenaan untuk berhijrah ke Kelantan.

“Atas faktor kelansungan kerjaya beliau, Kelantan secara rela hati menggugurkan Zulkifli daripada senarai pemain untuk STL 2020,” ujarnya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: