
SELEPAS beberapa acara sukan berjaya menyakinkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk kembali diadakan kini tiba pula giliran jentera dua dan empat roda bakal kedengaran di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican berkata, Standard Operating Procedure (SOP) yang dilaksanakan oleh SIC adalah mengikut tatacara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ternyata persiapan SIC ini selaku penganjur dan litar perlumbaan membuktikan mereka sudah bersedia, sekaligus meyakinkan saya untuk terus berusaha menyusulkan cadangan kepada MKN dan KKM supaya sukan permotoran boleh kembali berlangsung,” jelasnya selepas mengadakan lawatan ke SIC, sebentar tadi.
Kehadirannya ke SIC untuk melihat persediaan SIC melangsungkan acara sukan permotoran (Non-Contact Sports) dari segi tatacara pematuhan yang telah ditetapkan (KKM), (MKN), dan (KBS).
Sejak awal kewujudannya pada tahun 1999, SIC telah berkembang menjadi pusat sukan bermotor yang terulung di rantau Asia Tenggara dengan penganjuran pelbagai acara di peringkat antarabangsa dan tempatan seperti Shell Malaysian Motorcycle Grand Prix (MotoGP), Malaysia Championship Series (MCS), Malaysia Superbike Championship (MSBK), Sepang 1000KM Endurance Race (S1K) dan pelbagai lagi acara sukan yang kini ditangguhkan sehingga SIC mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan.
Aktiviti sukan permotoran yang dibenarkan di SIC adalah seperti mana yang tertakluk kepada kesesuaian semasa yang telah dinasihatkan pihak berwajib iaitu KBS, MKN, dan KKM.
Sewaan trek kepada penggemar dan keluarga industri sukan permotoran merupakan elemen yang penting bagi SIC. Oleh itu, SIC amat gembira dengan keputusan kerajaan untuk membenarkan trek perlumbaan kembali di buka untuk latihan dan juga aktiviti ‘Track Day’ di SIC.
Sebagai peneraju sukan permotoran di Malaysia, SIC amat menitik beratkan tentang keselamatan pekerja, pelumba, pasukan, rakan kongsi dan juga peminat.
Demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan untuk semua berterusan, SIC telah mengeluarkan tatacara pematuhan yang perlu dipatuhi oleh setiap individu apabila mereka memasuki premis SIC.
Antara SOP sedia ada seperti pemeriksaan suhu, pemakaian topeng muka dan gel pembersih tangan pada setiap masa, penjarakan sosial dan sentiasa menjaga kebersihan pit.

Selain itu, seluruh kawasan SIC telah disanitasi dan SIC telah menentukan SOP yang bersesuaian untuk acara perlumbaan seperti susun atur pit untuk kereta dan motosikal yang telah ditetapkan di dalam satu pit/garaj, mengehadkan kehadiran peserta dan kru berada di dalam pit.
Memandangkan sukan permotoran merupakan sukan dinamik, penjarakan sosial telah ditetapkan untuk aktiviti di litar, perlu memakai topeng muka, basuh dan gunakan gel pembersih tangan selalu dan sentiasa menjaga kebersihan.
Manakala, pegawai perlumbaan dan pasukan perlu memakai alat perlindungan diri (PPE) yang bersesuaian serta mengawal bilangan orang bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di satu kawasan.
Dengan situasi norma baharu, acara perlumbaan sukan permotoran adalah berbeza dan tidak sama seperti sebelum ini di mana ia akan berlangsung tanpa kehadiran penonton bagi memastikan risiko jangkitan wabak Covid-19 dapat dibendung.
Add Comment