Luqman haziq jangkakan cabaran eMFL sengit

Luqman Haziq akui saingan kali ini menyajikan kelainan.

PEMAIN profesional e-sukan Malaysia, Luqman Haziq Hajiman menjangkakan Kejohanan eMalaysian Football League (eMFL) bakal memberi cabaran yang tersendiri apabila kali pertama beraksi dalam saingan yang mengikut format liga tempatan.

Nama Luqman tidak asing lagi dalam arena sukan elektronik FIFA di Malaysia, tetapi itu bukan menjadi tiket untuknya berasa selesa untuk merebut kejuaraan pada edisi ini meskipun sebelum ini sudah pun bergelar juara Kejohanan ePiala Malaysia 2019.

Jelasnya, saingan kali ini bukan sahaja hadir daripada pencabar-pencabar lain tetapi format dalam kejohanan ini yang menggunakan kaedah seperti liga tempatan bakal memberi satu kelainan dan cabaran berbeza kepada dirinya yang belum pernah beraksi dalam saingan menggunakan format seperti itu.

Apatah lagi, pemain yang pernah mencipta sejarah menjadi pemain negara pertama layak ke Piala Kejohanan FIFA Ultimate Team (FUT) 2019 ini bakal menggalas tugas besar apabila diundi mewakili pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Saya rasa gembira dan bersyukur apabila dapat mewakili kelab yang ketika ini merupakan pasukan terbaik di Malaysia dan sudah pasti saya ingin memberi persembahan hebat kepada semua penyokong JDT nanti.

“Ini memang kali pertama saya bermain dalam format liga dan semestinya saya cukup teruja untuk beraksi.

“Sebelum ini sudah biasa dengan format peringkat kumpulan dan sebagainya, tetapi kali ini saya rasa cabaran agak berbeza kerana dengan format liga. setiap orang mempunyai peluang masing-masing untuk mengutip mata.

“Sekarang pula kita sudah menggunakan FIFA20 dan sesiapa sahaja boleh berpeluang menang kerana ia berbeza dengan FIFA sebelum ini.

“Jadi, saingan akan jadi lebih sengit dan kadang-kadang akan ada rasa kurang yakin juga, cuma dengan pengalaman yang saya ada, saya akan cuba terbaik untuk pastikan kejuaraan menjadi milik saya”, jelasnya.

Selain itu, seorang lagi pemain termuda dalam kejohanan ini, Muhammad Muzaffar Zuhair Mustaffa akan memastikan dirinya mampu menjadi pencabar yang digeruni walaupun baru sahaja berusia 17 tahun.

Jelasnya, dia pernah bersaing dengan kesemua 11 pemain lain itu sebelum ini dan menyifatkan mereka mempunyai karakter berbeza dan kejohanan kali ini cukup berbeza kerana perlu mengutip mata dengan mengharungi 22 perlawanan.

“Persaingan memang tinggi sebab kesemua pemain yang ada ini memang hebat dan saya jangkakan ia tidak akan menjadi mudah untuk kami semua.

“Ikutkan prestasi sekarang, masing-masing ada kelebihan tersendiri dan saya kalau boleh memang nak menang dan ingin buktikan umur tidak menjadi penghalang”, jelasnya.

Semalam telah berlangsung Majlis Undian Kejohanan eMFL bagi menentukan pasukan CIMB Liga Super yang manakah akan mereka wakili bagi menghadapi perlawanan yang akan bermula esok (Rabu).

Untuk kejohanan sulung ini, eMFL akan ditaja oleh TM sebagai Rakan Strategik, BenQ sebagai Penaja Rasmi Monitor dan disokong oleh Esports Kuala Lumpur (ESKL).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s