Bola Sepak

Kejutan Sang Kancil

Safiq Rahim (depan) memimpin rakan sepasukan mengatasi PDRM FA dengan kemenangan 3-1.

MELAKA United melakarkan kejutan muncul sebagai pendahulu liga selain aksi pemain bek kanan, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman mencuri tumpuan dalam aksi menentang PDRM untuk raih kemenangan 3-1 pada aksi minggu kedua CIMB Liga Super 2020.

Selepas dua perlawanan berlangsung, hanya pasukan Melaka dan Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mempertahankan dua kemenangan berturut-turut dengan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan gah berada di tangga teratas liga diikuti JDT di kedudukan kedua selepas tewaskan Uitm FC, 2-1.

Manakala Perak berada di kedudukan ketiga apabila perlawanan yang paling dinantikan ketika menentang Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sekadar berakhir dengan keputusan hambar iaitu seri satu sama.

Menerusi dua kemenangan Melaka setakat ini, nama Afiq mula meniti di bibir penyokong pasukan itu selepas menjadi antara tonggak utama yang berjaya membantu kemenangan pasukan ketika berdepan PDRM menerusi dua bantuan gol dan satu jaringan menarik dari luar kotak penalti untuk memberikan tiga mata kepada mereka.

Walaubagaimanapun, dua kemenangan yang telah diraih setakat ini belum menjadi kepuasan buat Zainal sambil menyifatkan masih banyak yang perlu diperbaiki oleh anak buahnya terutamanya daripada aspek penyudah yang lebih berkesan.

“Apa-apa pun, tahniah saya ucapkan kepada pasukan kerana meraih tiga mata di tempat sendiri kerana itu adalah yang paling penting sekali.

“Prestasi serta corak permainan yang ditampilkan juga lebih kemas kalau nak dibandingkan dengan perlawanan pertama, cuma ada pada satu ketika, peluang yang kita sudah cipta gagal untuk disudahkan dengan jaringan sehingga pada satu saat itu, pemain mudah rasa tertekan.

“Jadi, saya ingin memberitahu kepada semua pemain untuk mempertingkatkan serta memperkemaskan lagi prestasi mereka kerana yang paling penting adalah gol.

“Mengenai prestasi Afiq, saya memang bangga melihat dia beraksi dan ini tahun kedua dia bersama Deevan (Deevan Raj Siva Balan) dan daripada situ kita boleh nampak keserasian mereka di mana saya berharap dia dapat terus konsisten untuk perlawanan akan datang,”katanya.

Dalam perlawanan lain, pendatang baharu Liga Super, Sabah tidak kurang hebatnya untuk mula tunjuk taring dengan kemenangan pertama apabila menang 3-1 ke atas Felda United sekaligus menghuni tangga keempat liga setakat ini.

Pemain import baharu Sabah, Petrus Shitembi paling mencuri tumpuan untuk dinamakan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan selepas membantu kemenangan pasukan menerusi jaringan daripada Rodaljub Paunovic, Park Taesu dan Maxsius Musa di mana ketiga-tiga gol itu terhasil oleh hantaran menarik daripadanya.

Ketua jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto menganggap kemenangan pertama ini cukup penting untuk memberikan suntikan moral kepada barisan pemain sebelum mereka berdepan pasukan yang lebih berpengalaman, Pahang di Stadium Darul Makmur, esok.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pasukan untuk tiga mata ini dan ia bukan satu perlawanan mudah kerana Felda United juga bermain dengan bagus dan banyak kali menyusahkan pemain sepanjang perlawanan.

“Kerja keras anak buah saya terbayar dengan tiga mata penting Ini kerana selepas ini kami akan beraksi di tempat lawan menentang Pahang dan kita tahu mereka adalah pasukan yang kuat tetapi dalam bolasepak tidak ada yang mustahil,” jelasnya.

Keputusan lain menyaksikan perlawanan epik di antara Kedah dan Terengganu berakhir dengan tujuh gol di Stadium Darul Aman dengan kemenangan berpihak kepada skuad bimbingan Nafuzi Zain selepas tundukkan pasukan tuan rumah, 4-3.

Manakala naib juara Liga Super musim lalu, Pahang pula tersungkur di tangan PJ City FC dengan keputusan 3-2 dan paling menarik, jaringan kemenangan mereka terhasil menerusi R. Kogileswaran yang merupakan bekas anak buah Dollah Salleh sejak musim 2016.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: