
MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) menggerakkan daya usaha yang proaktif dengan memilih Perak sebagai negeri perintis program kerjasamanya untuk menyaksikan lebih ramai ‘Ridzuan Puzi, Ziyad Zolkefli dan Latif Romly Baharu’ dicungkil dan digilap.
Dua program peringkat akar umbi bagi merancakkan pembangunan atlet orang kurang upaya (OKU) diadakan mulai semalam hingga hari ini iaitu Seminar Pembangunan Sukan OKU dan Kursus Pengenalan Klasifikasi Sukan OKU Peringkat Negeri Perak di Kompleks Belia dan Sukan Negeri, Ipoh.
Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, kejayaan tiga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Ke-15 di Rio de Janeiro, Brazil pada 2016 ini menjadi penanda aras MPM apabila mengenal pasti bakat-bakat baharu OKU ini dengan kerjasama enam agensi kerajaan negeri berkenaan.
“Mereka ialah Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri (Bahagian Pendidikan Khas, Majis Sukan Negeri dan Persatuan Sukan dan Rekreasi Negeri Perak.
“Satu lagi aktiviti bertajuk Bengkel Pengenalpastian Bakat Atlet OKU pula akan diadakan di Dearah Kinta dan Hilir Perak yang dijadualkan pada awal bulan depan.
“Statistik terkini program akar umbi atlet OKU berada pada tahap kurang memuaskan. Justeru inilah antara inisiatif awal MPM untuk mencari bakat baharu sukan golongan ini. Di Perak, ramai lagi atlet OKU yang belum dikenal pasti.
“MPM kini tampil untuk membantu dengan memilih Perak sebagai perintis dalam mendapatkan data yang tepat seterusnya mengetengahkan atlet-atlet berbakat ini ke peringkat lebih tinggi,”tegasnya.

Megat D Shahriman turut memaklumkan, MPM katanya, amat berterima kasih dengan sokongan kerajaan Perak yang turut mahu melihat sukan para dipergiat dan diperkasa di kesemua 17 daerah di negeri ini sehingga mencapai tahap berprestasi tinggi.
“Program ini akan turut menjelajah ke setiap negeri lain dan kami akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam mengenal pasti bakat baharu pada kalangan OKU.
“Jabatan ini merupakan antara pihak terawal yang mempunyai hubungan dan makluman mengenai keluarga-keluarga yang mempunyai anak OKU. Kita boleh tengok potensi mereka daripada himpunan data itu untuk dimanfaatkan sebagai atlet.
“MPM turut menggesa para ibu bapa anak OKU ini sentiasa berfikir positif dan memupuk kesedaran penting bahawa golongan istimewa ini masih mempunyai potensi dan masa depan asalkan sentiasa diberikan sokongan dan bantuan.
“Sebanyak 140 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan Perak menghadiri Seminar Pembangunan Sukan OKU dan Kursus Pengenalan Klasifikasi Sukan OKU Peringkat Negeri ini yang diadakan buat julung-julung kalinya.
“Lima matlamat sampingan MPM dalam kedua-dua program ini ialah mewujudkan perancangan strategik pembangunan sukan para negeri, membangunkan kecekapan sumber manusia, melahirkan klasifier bertauliah peringkat negeri, mempamerkan prestasi tinggi dalam Sukan Para Johor 2020 dan menjadi model atau penanda aras pembangunan sukan OKU.
Add Comment