Bola Sepak Terkini

“Bukan mudah berada ditahap ini ” – Aidil

"Hanya rezeki sahaja tidak memihak kepada saya"

PNGENDALI Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak gembira dengan pencapaian peribadinya apabila tercalon buat kali ke-4 untuk merebut trofi Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025.

Kualiti jurulatih dari Singapura ini mula mencuri tumpuan ketika bersama Kedah pada musim 2019 sehingga berjaya membawa pasukan menjuarai Piala FA dan naib juara Piala Malaysia pada waktu itu sekaligus melayakkan beliau untuk berada di kelompok tiga terbaik ABK 2019.

Berjaya tercalon sejak musim 2019 sehingga 2021 membuktikan Aidil merupakan jurulatih yang mempunyai aura tersendiri untuk membentuk skuad terbaik termasuklah musim ini juga selepas mampu membawa Kuching City melangkah ke kelompok lima teratas Liga Super setakat ini.

Bagaimanapun, beliau sedar dengan dua lagi calon iaitu Hector Bidoglio (JDT) dan Katsuhito Kinoshi (Selangor FC) yang mana prestasi mereka tidak perlu disangkal lagi selepas masing-masing berjaya meletakkan pasukan di kedudukan terbaik liga selain kedua-duanya merupakan finalis Piala FA 2024-2025.

“Sejujurnya saya tidak mahu terlebih fokus untuk memenangi kategori ini (Jurulatih Terbaik) dan bersyukur sejak saya di Liga Malaysia sebagai jurulatih, saya terpilih untuk tercalon dalam kategori ini.

“Hanya rezeki sahaja tidak memihak kepada saya, tetapi untuk kembali tercalon selepas saya kembali sebagai jurulatih di Kuching City, saya gembira sebab bukan mudah untuk berada di tahap ini.

“Tambah-tambah apabila kita boleh tengok pasukan Kuching City yang musim lepas di tangga 13 liga, sekarang boleh berada di kelompok 4 teratas, Alhamdulillah”, katanya.

Bidoglio yang berjaya meletakkan JDT selaku juara Liga Super musim ini tercalon buat kali kedua selepas kali pertama dicalonkan dalam kelompok 10 terbaik pada musim 2022 manakala Kinoshi yang juga hadir buat julung kali ke pentas Liga Malaysia layak tercalon untuk merebut trofi Jurulatih Terbaik kali ini selepas berjaya meletakkan Selangor selaku naib juara Liga Super 2024-2025.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading