Bola Sepak

SUKAN KITA KE LAUT


Foto: Bernama

Bicara Otai Sukan oleh Dato’ Dr Pekan Ramli

“Kita tak serius”. Saya memetik kata-kata YAB Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tatkala memulakan mukadimah ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pembangunan Sukan di Bilik Mesyuarat Parlimen.

Beliau merujuk kepada pencapaian terburuk kita sewaktu temasya Sukan Sea Kemboja baru-baru ini apabila kontinjen negara gagal memenuhi sasaran 40 pingat emas. Malaysia hanya mengapai 34 pingat emas dan merudum di kedudukan tempat ke tujuh daripada sebelas negara Asean buat kali pertama sejak 1957.

“Bila kita jadi tuanrumah Sukan Komanwel, Sukan Sea, kita hebat, dapat banyak pingat, capai sasaran, tapi bila penyertaan kita di luar negara, sukan kita ke laut, jangan berfikir secara ‘silo’ dan jangan jadi jaguh kampung sahaja”. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau memandang serius isu kegagalan sukan negara dan memaksa inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengaktifkan semula Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) yang sudah lama tidak bersidang sejak lebih sepuluh tahun lalu dan di pengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri minggu lalu.

“Negara-negara lain dulu kalah dengan kita, dulu Korea sama ‘level” dengan kita,

tapi sekarang dengan Laos pun kita boleh kalah. Kalau PM kita dikenali di peringkat antarabangsa, atlet kita juga harus dikenali di peringkat antarabangsa. Jangan kaitkan kegagalan kita dengan ketidakstabilan politik. Kita yang tak serius. Kali ini saya akan pantau program ini”. Lagi antara petikan ucapan YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Maka kerana itulah tanpa menunggu lama beliau mengambil tanggungjawap untuk mempengerusikan pula Mesyuarat HLC ini iaitu sebuah jawatankuasa tertinggi pembangunan sukan negara yang diujudkan di bawah naungan JKPS.

Inilah sebenarnya yang kita perlukan iaitu kesedaran untuk tidak sanggup melihat sukan negara kita terperosok di belakang negara-negara yang kecil dan terkebelakang daripada kita di rantau Asia Tenggara ini. Kita bergerak ke hadapan agar tidak tertinggal terlalu jauh untuk kembali mengejar dari belakang.

Bayangkan kita hanya mampu meraih 5 emas daripada 48 pingat emas menerusi acara olahraga. Manakala sukan renang hanya menyumbang 1 emas daripada 39 pingat emas yang ditawarkan. Alangkah miskinnya kita daripada sukan ini.

Manakala daripada lima sukan tempur taekwondo, karate, silat, wushu dan kickboxing kita mengumpul 14 pingat emas. Keseluruhan pingat emas yang menerusi acara itu adalah sebanyak 101 pingat emas. Bayangkan jika kita kembali menguasai sukan ini sudah pasti kita akan berada di kedudukan teratas dalam pencapaian sukan di rantau ini.

Sukan-sukan ini diibaratkan ‘lubuk emas’ dalam sukan temasya yang kini di beri perhatian utama untuk diperkasakan menerusi program bersepadu dari aspek pembangunan atlet, pusat latihan, kejurulatihan dan pertandingan menerusi penyatuan komitmen di antara tiga kementerian utama yang terbabit.

Perancangan yang lebih teratur dan tersusun akan dirangka dan setiap pemegang taruh juga akan diberikan peruntukan khas bagi tujuan tersebut.

Pemerkasaan program memperkasakan sukan renang, olahraga dan sukan temour ini juga akan diperluaskan kepada perkhidmatan kerajaan lain seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis di Raja Malaysia, Penjara dan sebagainya.

Mengapakah sukan tempur di sekolah hanya di kategorikan sebagai aktiviti pasukan beruniform. Sedangkan pada usia di alam persekolahan inilah waktu yang paling tepat untuk mereka didedahkan lebih awal dengan pengalaman mempraktikkan asas yang mereka pelajari termasuk pendedahan dalam pertandingan sebenar.

Sinar baru menanti sukan negara apabila  tujuh syor telah dicadangkan pada medtuarat HLC itu dan di persetujui antaranya mengklassifikan sukan tempur sebagai aktiviti sukan di sekolah. Kewujudan lebih banyak kelab-kelab renang dan olahraga di sekolah-sekolah terpilih, menggiatkan pertandingan kompetitif peringkat sekolah dan merentas Institusi Pengajian Tinggi (IPT), program Rakan Muda di sekolah, memperluas

peranan Institut Sukan Negara (ISN) dalam program pendidikan dan pelesenan untuk jurulatih KPM dan KPT.

Manakala Biasiswa Sukan Persekutuan KBS akan diserahkan di bawah KPT serta Dana Sukan Komuniti sebanyak RM20 juta diperluaskan kepada kelab dan persatuan di bawah KPM dan KPT.

Walau bagaimanapun semua syor yang diluluskan oleh HLC ini.akan diperhalusi dan diperkemaskan semula pada mesyuarat jawatankuasa kerja teknikal yang akan bersidang nanti.

Semoga Sukan Negara tidak lagi diperkotak-katikkan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: