Bola Sepak

RTM sajikan aksi Liga Malaysia 2022


Annuar menyaksikan penyerahan dokumen perjanjian diantara TM Unifi dan RTM.

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) bakal menyiarkan 44 perlawanan liga termasuk Liga Super yang bakal bersiaran mulai 4 Mac 2022, Piala FA dan Piala Malaysia namun ianya tertakluk kepada sebarang perubahan dari semasa ke semasa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, bertepatan dengan slogan ‘Sukan Terbaik Hanya di RTM’, peminat sukan bola sepak tempatan bakal disajikan dengan aksi terbaik sepanjang kempen Liga Malaysia tahun ini apabila RTM diumumkan selaku penyiar Liga Malaysia 2022.

“Berkesinambungan dengan kerjasama RTM sebelum ini bersama-sama pihak Malaysian Football League (MFL) dan TM dalam penganjuran Bola Sepak Liga Malaysia 2021, ketiga-tiga pihak bersetuju untuk meneruskan kerjasama untuk tahun 2022 dengan menjalin persefahaman yang menjadikan RTM selaku Rakan Penyiar unifi untuk Bola Sepak Liga Malaysia 2022.

“Kerjasama yang dibentuk merupakan antara matlamat utama RTM dalam memainkan peranan melaksanakan tanggungjawab sosial, selaku Hos Penyiar Bersama stesen tidak berbayar milik kerajaan, atau Free to Air (FTA) untuk memberi siaran percuma kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama kepada mereka yang tidak memiliki akses siaran berbayar atau saluran pay per view.

“Tontonan secara langsung disiarkan oleh RTM dalam tiga platform iaitu melalui saluran TV1, TV Okey dan Sukan RTM serta RTM Klik,” jelasnya pada majlis Pelancaran RTM selaku rakan penyiar Unifi untuk bola sepak Liga Malaysia 2022 anjuran MFL.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri  Mohammad Mentek, Pengerusi MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dan Ketua Pegawai Komersil TM, Anand Vijayan.

Kempen Liga Malaysia musim 2022 akan bermula pada 26 Februari ini dengan kick-off perlawanan Piala Sumbangsih yang menyaksikan pertemuan antara juara Liga Super Johor Darul Takzim, JDT dan juara Piala Malaysia, Kuala Lumpur City FC.

Kelainan tahun ini menyaksikan format perlawanan Piala Sumbangsih akan kembali seperti dahulu, iaitu dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan tidak dikira sebahagian daripada perlawanan liga.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: