
Oleh: MOHD FARIQ
BEKAS Ketua Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe mendedahkan dia sudah pun membuat keputusan untuk mengundur diri sebagai tanggungjawab kekalahan peringkat kumpulan dalam kempen Piala Suzuki 2020 di Singapura.
Cheng Hoe,53, memberitahu CAKAP SUKAN bahawa dia sudah ada keputusan selepas skuad Malaysia tewas di tangan Indonesia yang menyaksikan mereka gagal ke separuh akhir dan sekaligus dianggap sebagai ‘nightmare’ buat dirinya.
“Sebagai jurulatih saya sudah cuba membuat yang terbaik, dan ingin mencapai rekod baik seperti dalam aksi tahun 2019 ketika Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.
“Ketika itu saya fikir memang boleh pergi jauh kerana semua berada dalam momentum yang baik.
“Tetapi semuanya berubah selepas pandemik Covid-19. Semua hilang ‘shape’ dan tak sama lagi dengan 2019. Saya terpaksa guna apa yang ada walaupun tidak cukup.

“Dan untuk kempen Piala AFF 2020 ini saya tahu sejauh mana kekuatan skuad negara…takkan sampai ke final, biarpun FAM meletak sasaran hingga ke akhir,” ujarnya kepada Cakap Sukan.
Tambah Cheng Hoe, dia memang sangat ‘down’, malah sudah buat keputusan untuk ‘resign’ sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur.
“Selepas tewas (kepada Indonesia) saya memang tak cukup tidur. Memang mimpi ngeri. Namun sebagai jurulatih bola sepak, saya bertanggungjawab dan sudah melakukan yang terbaik.
“Saya juga sudah cuba meletak peta Malaysia di pentas Asia, namun tidak kesampaian.
“Terima kasih kepada semua penyokong-penyokong bola sepak negara yang selama ini sentiasa mengikut rapat perkembangan pasukan.”
Pada Isnin, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, Cheng Hoe telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan FAM dan menyatakan hasratnya itu berikutan kegagalan skuad kendaliannya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.
“Selepas berbincang secara terbuka dari semua sudut, pihak pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan tersebut dan telah bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.”





Add Comment