
LIVERPOOL terus memberikan tekanan kepada Chelsea dalam perebutan peneraju Liga Perdana Inggeris 2021/22 apabila mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Watford, 5-0 pada aksi di Stadium Vicarage Road, sebentar tadi.
Tiga mata diraih skuad bimbingan Jurgen Klopp meletakkan mereka selaku peneraju liga buat seketika dengan kelebihan dua mata berbanding Chelsea yang mengutip 16 mata namun kekurangan satu perlawanan berbanding Liverpool.
Pada aksi yang berlangsung sebentar tadi, Liverpool tidak menunggu lama untuk mendahului tuan rumah apabila Sadio Mane menyempurnakan hantaran lintang Mohamed Salah pada minit ke-9.
Gol pertama yang dijaringkan Mane pada malam ini adalah jaringannya yang ke 100 buat The Reds.
Liverpool terus selesa didepan apabila Roberto Firmino meledak gol kedua baut pasukan sebelum tamat separuh masa pertama dengan kelebihan pelawat dua gol tanpa balas didepan.
Memasuki babak kedua, Firmino terus mencetak nama selaku penjaring gol kedua peribadi dan ketiga buat pasukan pada minit ke-52 yang berpunca dari kegagalan penjaga gawang tuan rumah, Ben Foster menangkap kemas bola.
Selang dua minit kemudian, Salah terus mengulangi gerakan cemerlang secara individu selepas berjaya memperdayakan tiga benteng pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan Foster buat kali keempat.
Walaupun Watford cuba memberikan tentangan dan memburu gol namun Firmino sekali lagi menjaringkan gol kelima buat pasukan dan ketiga peribadi pada masa kecederaan separuh masa kedua.
Kedudukan selaku peneraju liga bakal berubah seandainya Chelsea meraih tiga mata menentang Brentford pada aksi awal pagi esok.
Add Comment