Bola Sepak

Sebelas pemain bola sepak wanita negara terima tawaran ke IPTA

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Sebahagaian daripada 11 pemain yang ditawarkan melanjutkan pengajian ke IPTA. Foto: FAM

SERAMAI 11 pemain dari skuad Malayan Tigress yang baru pulang dari saingan kelayakan Piala Asia Wanita AFC 2022 di Palestin kini mengorak pula langkah mereka ke menara gading selepas menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Surat tawaran untuk melanjutkan pelajaran bagi sesi 2021 itu telah disampaikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, sambil disaksikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram serta dua Exco FAM, Datuk Suraya Yaacob dan Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah, masing-masing selaku Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM.

Seramai sembilan pemain diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) manakala dua pemain lagi ditawarkan untuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sembilan yang ditawarkan ke UPNM ialah Nurul Azurin Mazlan, Eva Olivianie Antinus, Waitie Taming, Nurfatin Rozani, Henrietta Justine, Nur Syafinaz Abdul Rajak, Felicia Loudea Thomas, Nor Ezza Ashikin dan Nurul Arliana Nabila Mohamad Ramadhan manakala Nuralyaa Natasha Zulkefli dan Grace Handirian ditawarkan ke UiTM.

Pada majlis yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis, Suraya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana telah membuka peluang kepada atlet bola sepak wanita kebangsaan untuk melangkah lebih jauh dalam bidang pengajian tinggi.

“Kerjasama di antara FAM serta KPT yang terjalin pada hari ini jelas menunjukkan betapa pendidikan itu memainkan peranan besar dalam karier seorang pemain bola sepak.

“Menerusi inisiatif ini, kita dapat menghargai jasa serta sumbangan pemain-pemain ini yang telah memerah keringat demi mengharumkan nama negara.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Haji Hamidin atas sokongan tidak berbelah bagi terhadap bola sepak wanita negara.

“Semoga barisan pemain yang menerima tawaran menyambung pengajian pada hari ini dapat menimba pengalaman serta dapat menamatkan pengajian sebaik mungkin,” kata Suraya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Tambahnya lagi, beliau berharap menerusi kerjasama bersama KPT itu dapat mendorong masyarakat terutama golongan ibu-bapa untuk memberi peluang kepada anak-anak mereka menceburi sukan bola sepak yang kini dapat membuka peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Dr Noraini menyampaikan surat tawaran dan keperluan pengajian kepada salah seorang pemain Malayan Tigress. Foto: FAM

Sementara itu, penyerang Malayan Tigress, Henrietta, 19, yang bakal mengikuti program Diploma Kecergasan Pertahanan meluahkan rasa berbesar hati kerana telah diberi peluang untuk menyambung pelajaran di UPNM.

“Mewakili rakan pasukan yang turut menerima surat tawaran melanjutkan pelajaran hari ini, saya ingin berterima kasih kepada KPT serta FAM kerana telah memberi peluang kepada kami untuk meraih satu lagi kejayaan dalam bidang pelajaran.

“Semoga ia dapat memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk sentiasa melakukan yang terbaik, tidak kira di mana atau pun kekangannya.

“Ini juga membuktikan bahawa ada laluan untuk seorang pemain bola sepak melanjutkan pelajaran ke menara gading,” kata Henrietta.

Tambahnya lagi, keputusan positif yang dibawa pulang selepas meraih kemenangan ke atas Palestin September lalu disifatkan sebagai kejayaan bersama dalam usaha mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Hadir mewakili UiTM ialah Naib Canselornya, Prof Ts Dr Roziah Mohd Janor manakala UPNM diwakili oleh Prof Datuk Dr. Norhasni Zainal Abidin.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar, Exco FAM, Syed Yazid Syed Omar, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Husaini Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Ahmad Dasuki Abdul Majid.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: