
Oleh : SUBKHI SUDARJI
TIGA mata penuh perlu diraih Perak FC seandainya ingin terus menempatkan diri bersama sembilan pasukan lain dalam saingan Liga Super 2022.
Berada ditangga kedua terbawah dengan hanya mengumpul 12 mata dengan tiga kemenangan dan tiga seri serta lapan kekalahan, tekanan pastinya dirasai bukan sahaja buat pengendalinya, Cong Yee Fat tetapi juga barisan pemain.
Tewas dengan jaringan 0-5 pada aksi terakhir menentang Terengganu FC, Sabtu lalu mencerminkan prestasi semasa pasukan walaupun kehadiran beberapa pemain baharu namun ia masih gagal memberikan impak sebenar.
Bagi Yee Fat semua aksi yang bakal ditempuhi selepas ini adalah umpama final dan mereka akan bangkit meraih keputusan positif.
“Kedudukan kita dalam liga ketika ini tidak bagus, kami akan bangkit dalam masa terdekat, tekanan itu memang ada.
“Melihat kepada keputusan menentang TFC kami perlu perbaiki corak permainan dan kesilapan.
“Rata-rata fikiran pemain ada terjejas dengan kekalahan tersebut, kami perlu memberikan semangat buat pemain semua dan bersedia berdepan dengan Kuala Lumpur City FC,” tegasnya.
Perak FC bakal menerima kunjungan KL City FC malam ini di Stadium Perak dan hanya tiga mata yang diraih sahaja mampu melonjakkan kedudukan tuan rumah yang ketika ini bergelut dalam zon penyingkiran bersama Melaka United FC dan juga Sri Pahang FC.





Add Comment