
PEMAIN sayap Kelantan FC, Fazrul Amir Zaman, menjadi antara pemain paling gembira di sebalik kemenangan sulung The Red Warriors musim ini di pentas Liga Super apabila menumbangkan Penang FC, 2-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, pada Ahad.
Bukan sahaja bertindak sebagai salah seorang penjaring tetapi paling penting berjaya meledak gol pertama bersama Kelantan selepas gagal melakukannya pada musim lalu.
Jaringan itu nyata memberikan kepuasan berganda kepada Fazrul lantas menyuntik keyakinan kepada pemain berusia 23 tahun berkenaan untuk beraksi lebih konsisten.
” Rasa sangat teruja kerana akhirnya saya mampu menjaringkan gol setelah musim lalu tidak ada jaringan dengan Kelantan, gol ini sangat penting buat saya.
” Saya ada letakkan sasaran mahu mendapatkan lebih banyak gol lagi musim ini selain membantu pasukan berada di kedudukan yang terbaik di Liga Super.
” Mengenai gol semalam, memang rezeki juga kerana mampu melepaskan teknik rembatan sebegitu dan tidak jangka kerana pernah cuba semasa sesi latihan namun kurang menjadi.
” Memang satu kepuasan yang saya sukar gambarkan apabila melihat bola tersebut mencecah jaring dan paling mustahak, meletakkan Kelantan dalam satu kedudukan yang selesa sebelum menuju tamat separuh masa pertama,” katanya.
Selain jaringan Fazrul pada minit ke-37, Kelantan sebelum itu berada di hadapan pada minit ke-23 menerusi Ismahil Akinade yang menanduk cantik hasil hantaran Ghaffar Rahman.
Kemenangan Kelantan juga menamatkan pemburuan mata sulung selepas dua perlawanan apabila tewas sebelum ini kepada Kuching City dan Sri Pahang.
Fazrul memulakan karier remajanya di PKNS dan berhijrah ke Kelantan United pada musim 2020 dan 2021, sebelum menyertai Kelantan FC pada musim lalu.
Add Comment